KUCHING- Pas memutuskan untuk bertanding hanya satu kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini berbanding 11 kerusi pada 2016.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, partinya meletakkan Mohammad Arifiriazul Paijo sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro.
Katanya, keputusan untuk bertanding di satu kerusi sahaja adalah berdasarkan beberapa faktor antaranya situasi Covid-19 dan hubungan baik dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Memang sebelum ini kita bertanding 11 kerusi, jauh beza dengan kali ini tetapi kita ada sokongan baik dan mahu memberi fokus kepada jentera sedia ada dan tidak libatkan jentera luar.
“Jadi kita harap calon Pas diterima baik di Beting Maro, kita sudah bertanding sejak 2001 lagi dan prestasi semakin baik setiap kali pilihan raya,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini tadi.
Katanya, Pas juga tidak asing di Beting Maro berikutan Pas selalu melakukan kerja-kerja kebaikan dan kemanusiaan sepanjang waktu dan bukannya pada PRN sahaja. -K! ONLINE