fbpx

Eyka Farhana jadi pencuri, ‘boyish’ demi Lola

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DALAM Dukun Diva, Eyka berlakon di samping Nadia Aqilah dan ramai lagi pelakon hebat lain.

KUALA LUMPUR – Pelakon Eyka Farhana puas dapat memenuhi tanggungjawab menggalas karakter gadis lasak yang bijak namun terpaksa mencuri demi kelangsungan hidup menerusi drama bersiri Dukun Diva.

Katanya, bagi menyerlahkan pembentukan watak Lola yang turut ditampilkan berambut ‘boyish’ dan kasar, dia diminta menjadikan siri popular, Money Heist sebagai inspirasi.

“Saya teruja apabila diberi kepercayaan membawakan watak Lola yang tampak kasar pada luaran namun masih punya sisi halus hingga dalam beberapa babak diselitkan elemen menyentuh kalbu.

“Menariknya, Lola juga punya bakat mencuri atau mencopet dan bagi mendalami ketangkasan seorang pencuri, saya diminta menonton Money Heist untuk lebih memahami karakteristik seorang pencuri.

“Sudah tentu watak Lola sangat mencabar kerana dalam kelincahan, penuh helah dan tampak suka lepas cakap, saya juga perlu bermain dengan emosi dalaman untuk tonjol kesedihan hatinya yang sesekali muncul selepas kehilangan ibu tercinta.

“Apa pun saya bertuah kerana dikelilingi ramai pelakon hebat termasuk Nadia Aqilah yang menjadi ibu saudara saya dalam siri ini serta semua bintang lain dan tidak terkecuali pengarah, Ariff Zulkarnain,” katanya ketika tayangan drama genre komedi itu, baru-baru ini.

Selain Eyka dan Nadia yang membawakan watak pelakon sendu Che Yah atau Rubiah Samsudin, Dukun Diva turut membariskan pelakon hebat lain seperti Emelda Rosemila, Adlin Aman Ramlie, Tony Eusoff dan Aloy Paradoks selain ramai lagi bintang jemputan.

Seperti diluahkannya, watak Lola yang digalasnya berbeza 360 darjah daripada peranan yang pernah dibawakan sebelum ini, dengan sebahagian ciri sudah ada di dalam dirinya.

“Lola memerlukan transformasi 100 peratus baik dari segi lenggok tubuh, intonasi bicara juga riak wajah bagi menonjolkan perbezaan, berbanding penampilan saya sebelum ini,” kongsi pemilik nama sebenar Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi itu.

Kisah berkisar perubahan hidup Che Yah selepas tidak lagi popular sehingga terpaksa bekerja di kelab malam bagi menampung kehidupan dan melunaskan bebanan hutang.

Situasi berubah selepas kematian kakaknya kerana dia diamanahkan menjaga satu-satunya anak saudara yang juga remaja bermasalah membuatkan hidup mereka semakin penuh warna.

Malah kehadiran Lola sebenarnya membuka jalan untuk mereka berpadu tenaga mengubah hidup biarpun menggunakan helah sebagai dukun bagi mendapatkan duit mudah daripada usahawan terkenal, Datuk DD.

Kata Eyka, Dukun Diva bukan komedi semata-mata, sebaliknya satira untuk mendedahkan sikap tamak segelintir individu yang mengakibatkan mereka mudah termakan tipu daya manusia lain.

Akui wanita berusia 26 tahun itu lagi, walaupun agak gentar dipadankan buat pertama kali bersama Nadia, keserasian mereka terus terpateri bukan hanya di lokasi penggambaran, malah sampai sekarang menjadi kawan baik.

“Tengok senarai pelakon lain buatkan saya gementar. Mana tidaknya, semua aktor hebat yang selalu tampil dengan naskhah hebat termasuk Nadia, Emelda, Adlin, Tony dan ramai lagi buatkan saya rasa kecil.

“Begitupun, hakikatnya semua umpama abang dan kakak yang sentiasa terbuka memberikan tunjuk ajar, tak lokek berkongsi ilmu dan sentiasa sedia membantu membuatkan suasana kerja sangat menyeronokkan.

“Dalam siri ini memang banyak babak membabitkan Lola dan Che Yah, jadi dari hari pertama lagi kami sudah ‘ngam’ hinggalah selepas penggambaran tamat.

“Walaupun pelbagai cabaran muncul di tengah-tengah penggambaran berikutan situasi pandemik semasa yang mengakibatkan dihentikan seketika dan disambung semula hanya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir, hasilnya berbaloi,” katanya.

Episod pertama Dukun Diva akan ditayangkan secara serentak di saluran Astro Citra dan Astro Ria pukul 9 malam bermula 6 Disember ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI