GUA MUSANG – Selepas tidak pulang ke rumah sejak kelmarin, mayat seorang lelaki Orang Asli suku kaum Temiar ditemui dalam cerun bukit di kawasan Kampung Sendrop, Tanah Tinggi Lojing di sini semalam.
Mayat, Uda Asem, 56, ditemui oleh penduduk kampungnya dengan memakai topi keledar dan motosikal jenis Honda EX5 miliknya pada pukul 3.15 petang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa dipercayai maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum terjatuh ke dalam cerun bukit itu.
Katanya, siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku kira-kira pukul 8 malam kelmarin ketika cuaca hujan dan mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Sendrop di sini.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan dan terjatuh ke kawasan bercerun.
“Anak mangsa menyedari bapanya tidak pulang ke rumah semalam dan keluar bersama penduduk kampung untuk mencari sebelum menemui mangsa di kawasan itu,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Choon Foo berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Gua Musang di sini untuk dibedah siasat dan pemeriksaan di hospital mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.-K! ONLINE