KOTA BHARU – Seorang penyelia rumah sewa terkejut apabila mengetahui bilik yang disewakan kepada seorang lelaki di Masjid Kampung Demit, Kubang Kerian di sini menyimpan sepucuk pistol angin jenis Walther CP99.
Lelaki itu dimaklumkan mengenai penemuan pistol angin itu oleh seorang wanita yang melakukan kerja-kerja membersih rumah tersebut kira-kira pukul 2.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, siasatan mendapati, wanita itu datang ke rumah tersebut untuk melakukan kerja pembersihan apabila ada individu lain yang ingin tinggal di situ selepas penyewa sebelum ini menghilangkan diri.
Menurutnya, ketika sedang membersihkan rumah, wanita itu telah menemui sepucuk pistol yang diletakkan di bawah sebuah sofa di ruang tamu bilik berkenaan.
“Terkejut dengan penemuan itu, penyelia rumah sewa berusia 56 tahun terus menghubungi pihak polis.
“Sepasukan pegawai dan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian dan menemui sepucuk pistol angin jenis Walther CP99 selain menemui satu kelopak peluru berwarna hitam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Abdul Rahim berkata, berdasarkan maklumat penyelia rumah sewa itu, seorang lelaki yang berusia 40-an telah menyewa rumah berkenaan sejak 1 Julai lalu dengan kadar bayaran RM450 sebulan. – K! ONLINE.