HULU TERENGGANU – Pelaksanaan program Jualan Keluarga Malaysia (JKM) dan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) merupakan komitmen kerajaan untuk menangani peningkatan kos sara hidup pada masa kini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, SHMKM telah menyenaraikan harga siling 12 barangan keperluan utama bagi tempoh 7 Disember hingga 31 Disember depan.
“Antaranya ayam, telur, kacang panjang, cili merah, tomato, sawi, kubis bulat import Indonesia dan China serta timun.
“Ia berlainan dengan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas yang akan diumumkan kemudian,” katanya ketika memantau perjalanan program JKM peringkat Hulu Terengganu di Kuala Berang di sini hari ini.
Rosol berkata, harga siling ayam standard ditetapkan pada RM9.30 sekilogram sepanjang SHMKM.
Tambah beliau, kerajaan juga telah mengambil inisiatif membawa masuk 200 kontena ayam import dari negara jiran bagi menstabilkan lagi harganya.
“JKM pula yang akan diadakan di 222 Parlimen seluruh negara pula menawarkan 50 barangan keperluan dengan harga subsidi sehingga 20 peratus.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberi jaminan program ini akan diadakan sekurang-kurangnya sehingga Februari tahun depan bagi menstabilkan harga barang,” katanya. – K! ONLINE