PUTRAJAYA – Prihatin dengan masalah dihadapi remaja daripada keluarga B40 yang terkesan akibat Covid-19, Sakeenah Soul International (SSI) mengambil pendekatan menjayakan Program Penajaan Anak Angkat SSI bagi membantu sokongan emosi dan intelektual mereka.
Program yang menyasarkan seramai 50 hingga 100 remaja berusia 15 hingga 17 tahun itu akan dimulakan pada Januari depan meliputi anak-anak yang tinggal di sekitar Lembah Klang.
Ketua Pegawai Eksekutif SSI, Abdul Razak Amin berkata, sebagai organisasi yang memfokuskan ke arah impak sosial, SSI berperanan membantu menangani masalah sosial dalam kalangan masyarakat.
“Menerusi Program Penajaan Anak Angkat SSI, kita menyediakan program dan aktiviti yang dapat memperkasakan seseorang individu tersebut secara sistematik dan saintifik.
“Kita tidak memfokuskan untuk membantu dari segi kelas tuisyen semata-mata kerana sokongan bukan sekadar akademik, tapi kita mahu menyokong dari segi emosi dan kerohanian remaja yang terkesan ini,” katanya pada sidang akhbar pelancaran Program Penajaan Anak Angkat SSI di sini hari ini.
Hadir sama, Pakar Mata dan Pakar Motivasi terkenal, Datuk Prof Dr. Muhaya Mohamad yang dilantik sebagai penasihat organisasi tersebut dan penyanyi, Datuk Nora Ariffin.
Dalam pada itu, Abdul Razak berkata, pihaknya merancang untuk membuka dana bagi menjemput orang awam memberi bantuan kepada remaja yang terkesan di bawah Program Penajaan Anak Angkat SSI. – K! ONLINE