Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
JOHOR BAHRU – “Saya percaya dia kini berada di tempat yang lebih baik kerana kanak-kanak seperti dia tidak mempunyai sebarang dosa.”
Demikian ujar Mussaffendy Mustapha, 52, yang kehilangan anak lelaki, Musyrif Hakimi Mussaffendy, 9, selepas dipercayai terkena renjatan elektrik pada pukul 2.45 petang di padang bola sepak Taman Impian Emas, Skudai, di sini kelmarin.
Terdahulu, kanak-kanak itu begitu teruja menyertai pertandingan bola sepak sempena bulan kemerdekaan.
Mussaffendy berkata, semasa kejadian, dia berada di rumahnya yang terletak kira-kira 100 meter dari padang berkenaan.
“Seorang rakan saya datang ke rumah dan memaklumkan bahawa Musyrif Hakimi sudah ‘tiada’ sebelum saya tanpa berfikir panjang terus bergegas ke sana.
“Setibanya di sana, ramai pihak sedang cuba menyelamatkannya termasuklah dengan memberi bantuan pernafasan, namun ketika itu dia sudah tiada,” katanya kepada Kosmo! Ahad ketika dihubungi di sini semalam.
Menurutnya, Musyrif Hakimi merupakan seorang kanak-kanak yang aktif bersukan, khususnya melibatkan sukan bola sepak dan ragbi.
“Guru-guru dan rakan memberitahu arwah bersikap agak pendiam sejak beberapa hari lalu. Malah dia juga kelihatan lebih manja apabila tidur sebilik bersama isteri dan saya.
“Walaupun sedih namun saya dan keluarga reda. Saya dan isteri sempat bergambar bersama mangsa hanya beberapa jam sebelum kejadian berlaku,” katanya.
Jenazah anak bongsu daripada lima beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Impian Emas, Skudai pada pukul 2 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd. Taib Ahmad berkata, mangsa dilaporkan menyertai aktiviti sempena bulan kemerdekaan anjuran sebuah agensi kerajaan di padang bola Taman Impian Emas, Skudai.
“Ketika kejadian, mangsa tidak memakai kasut manakala lokasi dia berada basah kerana hujan turun sebelumnya.
“Mangsa dilaporkan sempat mengadu kepada rakan bahawa dia berasa panas sebelum rebah,” katanya sambil menambah kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.