IPOH – Masih terdapat pergerakan tanah di lokasi kejadian runtuhan yang mengorbankan dua nyawa di Laluan FT 185, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di sini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, laluan di kedua-dua arah kini ditutup untuk kenderaan bagi membolehkan kajian dijalankan oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC), Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Semalam, saya dimaklumkan masih terdapat tanda-tanda pergerakan tanah di bukit dekat sempadan jalan (kawasan runtuhan).
“Tindakan seterusnya kini di bawah kajian CKC. Saya harap mereka sentiasa peka dengan kemungkinan berlaku pergerakan tanah, malahan di jalan naik ke Cameron Highlands, ada alat yang boleh mengesan pergerakan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sidang Dewan Belia Perak, Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Belia Ke-3, Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Menurut beliau, ekoran penutupan jalan disebabkan runtuhan yang berlaku Khamis lalu, orang ramai yang mahu ke Cameron Highlands boleh menggunakan Jalan Tapah-Ringlet yang sebelum ini juga ditutup akibat tanah runtuh.
Semalam, Timbalan Pengarah JKR Perak, Ir Hamdan Ali memberitahu, kapasiti air yang tinggi diserap tanah ekoran hujan berterusan sejak dua minggu lalu menyebabkan struktur tebing menjadi lemah dan akhirnya runtuh. – K! ONLINE.