PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pandangan bahawa pengajian dalam bidang teknikal hanyalah pilihan kedua dan untuk mereka yang tidak cemerlang dalam akademik sebagai satu stigma lapuk.
Beliau berkata, sejarah pendidikan teknikal di Malaysia telah pun menjejak usia lebih seratus tahun dan sehingga kini bidang tersebut tetap kekal relevan serta terus berkembang luas selari dengan Revolusi Industri 4.0.
“Bidang ini sering disalah erti sebagai pilihan kedua dan hanya layak untuk individu yang kurang cemerlang dari segi pencapaian akademik.
“Sebenarnya, stigma itu sudah lapuk kerana graduan program Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) sebenarnya kian mendapat perhatian oleh majikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2021 secara maya hari ini.
Ismail Sabri berkata, Malaysia kini mempunyai banyak syarikat berteraskan teknologi dan bertaraf dunia yang majoritinya dipelopori oleh warga profesion teknikal.
“Peluang pekerjaan berkaitan jurusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan TVET dalah amat cerah dan tidak seharusnya dilepaskan oleh Keluarga Malaysia khususnya golongan muda.
“Ia adalah hasil perancangan teliti kerajaan semenjak 2013 bermula dengan pengenalan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara yang menggalakkan penggunaan teknologi termaju bagi melahirkan tenaga kerja profesional teknikal yang mahir dan berketerampilan,” ujar beliau.
Tambah beliau, hasrat Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali untuk mencapai perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi melalui pemimpin berkepakaran, berinovasi dan berani menghadapi cabaran juga turut disambut baik.
“Saya berharap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat membuka lebih banyak peluang kepada warga profesion teknikal untuk mengisi jawatan strategik dan pembuat dasar negara yang secara tradisinya diisi oleh golongan pengurusan dalam merealisasikan perkhidmatan awam berprestasi tinggi ini.
“Saya yakin hasrat ini dapat direalisasikan kerana Malaysia mempunyai ramai bakat yang telah diiktiraf di pentas antarabangsa seperti Fakhirah Khairuddin, Jurutera Mekanikal TESLA Inc. Amerika Syarikat dan Mohammad Ruhaidi Abdul Rashid, Jurutera Struktur, Pakar Rekabentuk dan Pengurus Kanan Teknikal di BMW Motorsport Jerman,” jelas beliau. – K! ONLINE