SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan melaksanakan ekspedisi penyelidikan altitud tinggi di Annapurna Base Camp (ABC), Nepal bermula 10 hingga 21 Mac tahun depan.
Misi kerjasama antara Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU) dan Persatuan Alumni Universiti Texas (PAUT) akan disertai seramai 30 kakitangan dan penuntut FSPU dengan diketuai pensyarah fakulti berkenaan, Khalid Yusof.
Ia bertujuan melonjakkan penjanaan teori, konsep dan idea baru bagi menerobos sempadan ilmu serta penciptaan inovatif.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, misi ekspedisi ABC itu merupakan contoh terbaik kerjasama melibatkan tiga pihak iaitu universiti awam (UA), industri dan alumni.
“Ia berupaya merealisasikan program berimpak tinggi dan memberi manfaat positif terutama kepada para pelajar.
“Jalinan kolaborasi antara UiTM dengan Katmandhu Universiti Nepal juga akan memberi keberhasilan dalam pelbagai aktiviti jangka masa panjang seperti yang dirancangkan,” katanya. -K! ONLINE