GUA MUSANG – Akibat kemiskinan, seorang tukang urut bersama suami dan seorang anak lelakinya terpaksa menumpang di sebuah rumah yang daif milik rakannya di Felcra Panggong Lalat di sini sejak tiga bulan lalu.
Siti Noriha Jaafar, 53, bersama suaminya, Jamil Saad, 44, dan anak mereka, Muhammad Jaris Najmi, 10, mendiami rumah itu yang terletak di kebun getah di pinggir Jalan Gua Musang menghala ke Kuala Betis.
Menurut Siti Noriha, sebelum ini mereka tinggal menyewa di sebuah rumah di kawasan Felcra itu sejak tujuh tahun lalu sebelum keluarganya diminta mengosongkan rumah berkenaan.
Katanya, keadaan rumah yang didiami mereka kali ini sempit serta tidak mempunyai bilik tidur serta bilik air yang sempurna.
“Kadangkala kami rasa seperti orang pelarian apabila masih tidak mempunyai rumah sendiri.
“Kami berharap dapat bantuan sebuah rumah daripada agensi kerajaan agar kehidupan kami tiga beranak lebih sempurna,” katanya semalam.
Terdahulu, Yang Dipertua Majlis Belia Jajahan Gua Musang, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani mengadakan lawatan ke rumah keluarga berkenaan.
Siti Noriha berkata, bagi menyara hidup, dia mengambil upah mengurut serendah RM15 bagi seorang pelanggan dan suaminya pula hanya bekerja sebagai buruh kampung dengan pendapatan RM900 sebulan.
Katanya, pendapatan mereka itu hanya mencukupi untuk makan minum serta perbelanjaan anaknya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Gua Musang.
“Saya juga tidak dapat menyediakan kelengkapan tempat anak belajar yang sempurna.
“Namun, saya bersyukur apabila anak memahami keadaan. Dia pun rajin mengaji sehingga memenangi pertandingan azan peringkat antarabangsa baru-baru ini,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Azmawi Fikri berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim telah mengambil maklum masalah keluarga itu dan akan memberi bantuan sewajarnya selepas ini.
“Dalam masa terdekat, pihak ADUN akan memberi bantuan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru juga akan bersama kita untuk membina tandas buat keluarga ini,” ujarnya.
Bantuan untuk keluarga ini boleh disalurkan menerusi akaun bank Maybank milik Siti Noriha bernombor 153047892148 atau menghubunginya di talian 019-9791 348.