fbpx

RM6 juta bangunkan program francais

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALEXANDER (depan, dua dari kanan) bergambar bersama penerima Geran Penuh dan Geran Padanan di Menara SSM kelmarin.

KUALA LUMPUR – Dalam usaha menarik penglibatan lebih ramai rakyat, khususnya daripada golongan B40 dan M40 menceburi perniagaan francais, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memperuntukkan sejumlah RM6 juta bagi pelaksanaan Program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik tahun ini.

Menerusi program tersebut, KPDNHEP buat julung kalinya mewujudkan inisiatif pemberian Geran Penuh dan Geran Padanan bertujuan memperluaskan perniagaan francais berskala kecil dalam negara seterusnya mewujudkan peluang perniagaan untuk rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, menerusi pemberian Geran Penuh, Kementerian berhasrat pihak francaisor dapat membangunkan lebih banyak pakej permulaan perniagaan francais mampu milik bernilai RM100,000 ke bawah dan pakej francais mikro bernilai RM50,000 ke bawah.

Jelasnya, geran tersebut merangkumi RM20,000 bagi kajian pasaran, dengan jumlah terkumpul tidak lebih RM100,000 bagi membangunkan pakej berkenaan.

“KPDNHEP telah memperuntukkan RM2 juta bagi Geran Penuh dan menyasarkan sebanyak lapan pakej Francais Mampu Milik dan Francais Mikro dapat dibangunkan pada tahun ini.

“Sementara Geran Padanan pula bertujuan mengurangkan kos permulaan perniagaan yang perlu ditanggung bakal francaisi B40 dan M40, dengan kadar pembiayaan sehingga nisbah 9:1 buat francais berpotensi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Geran Penuh dan Geran Padanan di bawah Program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik di Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini kelmarin.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Radzali Hassan dan Pengarah Bahagian Pembangunan Francais dan Jualan Langsung KPDNHEP, Mohd. Farid Yahya.

Pada majlis tersebut, seramai lapan francaisor menerima Geran Penuh bernilai RM840,000, manakala 29 peserta program francais menerima Geran Padanan dengan nilai sebanyak RM2,116,116 setelah melalui saringan KPDNHEP, MFA dan Permodalan Nasional Berhad.

Menurut Alexander, inisiatif geran tersebut diumumkan pada 6 April lalu di portal rasmi KPDNHEP serta pelbagai saluran media sosial dan sehingga 1 Ogos, pihaknya telah menerima sejumlah 140 permohonan, yang terdiri daripada 14 permohonan untuk Geran Penuh dan 126 bagi Geran Padanan bernilai lebih RM20 juta.

Tambahnya, sokongan berterusan oleh semua pihak yang berminat akan menjadi penentu kepada kelangsungan inisiatif berkenaan dan menjadi asas pertimbangan kepada kerajaan untuk meluluskan penambahan peruntukan pelaksanaanya pada masa depan.

“Dalam suasana pandemik, industri francais domestik terus memperlihatkan pertumbuhan pesat dengan nilai jualan syarikat-syarikat francais di negara ini bagi tahun kewangan 2020 adalah berjumlah RM14.6 bilion, berdasarkan data yang dikumpulkan setakat November 2021.

“Peningkatan hampir 10 peratus berbanding RM13 bilion yang dicapai dalam tahun kewangan sebelumnya.

“Kementerian berharap pihak industri dan francaisor akan terus memberi sokongan kepada pelaksanaan inisiatif ini bagi terus merancakkan pertumbuhan sektor ini pasca Covid-19,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI