fbpx

Jangan ambil ringan dos penggalak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
NUR HUDA MUSA,
WARTAWAN EKSEKUTIF

SEJAK mula diperkenalkan pada Oktober lalu, pemberian dos penggalak bagi kumpulan petugas barisan hadapan, warga emas dan golongan komorbid di­lihat seolah-olah kurang mendapat sambutan.

Perkara itu terbukti apabila Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan sebanyak 45 peratus daripada penerima dos penggalak gagal hadir janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pada tarikh dan masa yang ditetapkan.

Tinjauan di ruang komen hantaran mengenai dos penggalak di Facebook Kementerian Kesihatan (KKM) juga mendapati ramai yang meluahkan rasa bimbang mengenai kesan selepas me­nerima dos penggalak dan ramai juga yang terpengaruh dengan maklumat-maklumat tidak sahih berkenaan dos penggalak.

Tidak kurang juga yang mempersoalkan sejauh mana kajian terhadap dos penggalak yang dilakukan oleh pihak kerajaan sebelum melancarkan pemberian dos berkenaan kepada individu yang layak.

Dapatan KKM juga menunjukkan terdapat beberapa faktor yang menyebabkan ramai pene­rima tidak hadir mendapatkan dos penggalak kerana kurang pasti mengenai keberkesanan dan kepentingannya, takut de­ngan campuran vaksin dan tidak mengambil peduli mengenai dos penggalak.

Memetik penulisan artikel Pakar epidemiologi, Dr. Moy Foong Ming baru-baru ini, beliau sendiri meluahkan rasa kecewa apabila terdapat individu tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat salah tentang keselamatan dos penggalak daripada jenis vaksin berbeza dengan yang asal.

Katanya, punca utama vaksin jenis Sinovac dicampurkan de­ngan vaksin lain adalah kerana campuran Pfizer dan AstraZe­neca akan menghasilkan tahap keberkesanan sehingga 94 ke 95 peratus, manakala menggunakan Sinovac sebagai penggalak hanya berkesan 75 peratus.

“Malangnya, terdapat banyak maklumat yang tidak sahih ber­kaitan campuran jenis vaksin di­sebarkan di media sosial.

“Susulan itu, ramai individu terpengaruh dan menolak vaksin Pfizer sebagai penggalak. Perkara ini jelas menjejaskan usaha KKM untuk memberikan perlindu­ngan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Pakar Virologi UKM, Prof Madya Dr. Nazlina Ibrahim berkata, penerima dos penggalak perlu tahu bahawa tujuan utama pemberian dos berkenaan adalah bagi mencapai perlindungan optimum terhadap jangkitan Covid-19.

“Dos penggalak akan membantu meningkatkan semula ge­rak balas imun terhadap jangkitan sebenar virus sama ada daripada varian asal atau varian membimbangkan (VOC).

“Kebelakangan ini, bilangan kemasukan ke hospital serta memerlukan rawatan bantuan pernafasan dan perhatian di unit rawatan rapi (ICU) mula meningkat. Maka, KKM wajar menggesa supaya semua pihak yang telah mendapat tarikh janji temu dos penggalak untuk hadir bagi me­nerima dos suntikan,” katanya.

Jelasnya, pemberian lengkap mana-mana jenis vaksin adalah 83 hingga 88 peratus berkesan menghalang kematian, gejala teruk Covid-19 serta mencegah kemasukan ke ICU.

Justeru, galakan pengambilan vaksin juga bukan satu propaganda, tetapi berdasarkan kea­daan sebenar yang berlaku dalam ge­rak balas keimunan yang khusus terhadap SARS-CoV-2 dan persediaan vaksin berkaitan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI