fbpx

Dahulu ‘penyendal’, sekarang Malek Mccrone jadi hero

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MALEK MCCRONE

MUNGKIN nama jejaka berbadan kekar, Malek Mccrone masih janggal kedengaran, lebih-lebih lagi bagi peminat drama televisyen tempatan.

Namun, sosok tubuh dan wajah tampan berserta pakej bakat yang dimiliki lelaki berdarah kacukan Kanada dan Melayu itu perlahan demi perlahan membantunya terus mara ke hadapan.

Memulakan kerjaya seawal usia 23 tahun sebagai pelumba trek negara, Malek atau nama sebenarnya Malek Marcus Mccrone terpaksa mengundurkan diri daripada bidang tersebut lebih awal berbanding impian asalnya.

JEJAKA yang pernah merangkul Anugerah Stail EH! 2019 untuk kategori Model of the Year ini berharap bakat lakonannya boleh terus dikembangkan dengan membawa pelbagai watak pada kemudian hari.

Semuanya disebabkan kecederaan yang dialami pada kakinya, sekali gus menyukarkan keupayaan untuk terus beraksi di atas trek mewakili negara tercinta.

Rentetan daripada kecederaan, anak kelahiran Ampang, Selangor itu terpaksa melupakan kerjayanya walaupun perit. Tanpa rela dia melepaskan kecintaan yang satu itu.

“Kemudian, saya melanjutkan pengajian dalam jurusan pengurusan penyelenggaraan pesawat di Universiti Kuala Lumpur selama hampir tiga tahun.

“Tapi sebelum itu, saya mula berjinak-jinak dalam dunia peragaan selepas dipelawa kawan yang juga dalam industri sama.

“Cuba punya cuba, saya tak sangka peragaan jadi sumber pendapatan utama pada ketika itu hinggalah kini,” katanya memulakan bicara bersama HibGlam.

Kebetulan, rezeki

Menyambung cerita, anak sulung daripada empat beradik itu memberitahu, penglibatannya dalam dunia lakonan sama sekali tidak dirancang dan hadir secara kebetulan.

Awalnya, dia langsung tidak pernah terfikir untuk berlakon apatah lagi membawakan pelbagai watak yang dirasakan sungguh sukar berbanding ‘berkepak’ di atas pentas peragaan.

MALEK menyifatkan dunia lakonan ada cabaran dan keunikan tersendiri dan jauh berbeza berbanding dunia peragaan yang disertai secara serius sejak beberapa tahun lalu.

“Kalau ikutkan, selepas saya ‘cuci tangan’ sebagai atlet, saya mula melibatkan diri sebagai model sambilan.

“Namun mungkin itu sudah rezeki, daripada secara sambilan terus bertukar menjadi kerjaya tetap yang memerlukan saya untuk menjadi penghias wajah bukan hanya di dalam negara tetapi turut melibatkan jenama mewah luar negara.

“Bermula tahun 2018, memang kerjaya saya adalah sebagai model secara sepenuh masa. Tiada kerja lain yang saya lakukan.

“Saya juga kerap ke luar negara seperti Indonesia untuk kerja-kerja peragaan di sana,” katanya.

Setahun, iaitu sekitar awal 2019, dia mula menerima tawaran untuk berlakon dek bakatnya yang mula diintai orang kuat produksi.

JEJAKA berdarah kacukan Melayu-Kanada ini terbuka untuk mencuba pelbagai cabang bidang seni dan tidak mengehadkan kepada lakonan semata-mata.

Akui Malek, dia memang tidak yakin untuk menjadi seorang pelakon, namun mencabar diri untuk cuba melakukan perkara baharu.

“Jujur, saya memang kekok dan tidak tahu bagaimana untuk berlakon. Menjadi model yang berjalan atas pentas peragaan itu mudah untuk saya lakukan, tetapi untuk beraksi di depan kamera dengan penuh ekspresi, ternyata sukar.

“Tapi itulah sebenarnya titik permulaan dan batu loncatan yang membentuk diri saya kini.

“Saya masih perlu banyak belajar dan tak boleh malu untuk ini (lakonan),” kata Malek yang melakukan debut lakonan menerusi drama Satukan Rasa terbitan Suhan Movies.

Watak sendalan

Bermula dengan Satukan Rasa, Malek, 27, semakin mendapat banyak tawaran dan bakat lakonannya mula dipercayai. Persembahannya sebagai pelakon perlahan-lahan membuka mata banyak pihak.

“Alhamdulillah walau baru setahun jagung dan masih hingusan dalam bidang lakonan, tawaran dan rezeki itu nampaknya menyebelahi saya.

“Tidak kisah walaupun hanya watak-watak sampingan atau ‘penyendal’, namun itu merupakan peluang keemasan bagi saya untuk melakukan yang terbaik.

“Cuma kadang-kadang, tak semua tawaran dapat saya terima kerana jadual dan masa yang tidak mengizinkan, terutama jika bertindih dengan kerja-kerja peragaan,” katanya.

MALEK MCCRONE tidak menyangka akan terjun ke dunia lakonan seperti apa yang dilakukan ketika ini.

Malek juga selesa biarpun awalnya sekadar ditawarkan watak-watak sampingan. Dari situ dia mula belajar selok-belok bagaimana untuk menjiwai sesuatu watak yang dipertanggungjawabkan.

Bagaimanapun, belum sempat belajar dan menerokai jauh lebih dalam, dia sudah diberikan kepercayaan membawa watak hero menerusi drama bersiri 13 episod, Dia Yang Ku Jadikan Suami.

“Sumpah saya tak pernah terfikir akan ditawarkan watak hero secepat ini. Manakan tidak, beberapa drama lakonan sebelum ini semuanya watak sampingan.

“Bila dapat tawaran dan digandingkan dengan pelakon Anna Jobling sebagai heroin, rasa macam mimpi.

“Saya harus sahut ini sebagai satu cabaran dan pengalaman,” katanya yang tidak sabar menunggu respons umum terhadap naskhah siaran Astro tersebut.

Menjadi hero atau peranan apa pun, Malek meninggalkan satu pesanan buat diri, dia mahu menerokai apa sahaja bidang tanpa meninggalkan pentas peragaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI