BEIJING – Seorang wanita hampir tidak sedarkan diri selepas disengat lebih 400 ekor lebah di sebuah ladang di daerah Suichang, wilayah Zhejiang baru-baru ini, lapor akhbar Daily Mail.
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Huang berkata, dia sedang bekerja di ladangnya sebelum dikerumuni beratus-ratus ekor lebah yang kemudian menyengatnya.
“Kumpulan besar lebah tiba-tiba mengejar dan menyerang saya,” katanya.
Mangsa dibawa ke hospital berdekatan oleh keluarganya.
Menurut doktor yang merawat mangsa, Weng Jianwu, banyak kesan sengatan kelihatan di kepala, leher dan belakang badan pesakit.
“Kami mengambil masa sekitar satu jam untuk membuang sengat lebah itu. Pesakit kini stabil,” jelasnya.
Jianwu menasihati orang ramai supaya bertenang dan tidak melarikan diri apabila diserang lebah kerana boleh menyebabkan serangga itu semakin agresif dan mengakibatkan kecederaan lebih teruk. – Agensi