fbpx

Pengawal keselamatan rugi RM12,240 ditipu beli kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUANTAN – Hasrat seorang pengawal keselamatan mahu memiliki dua buah kereta idaman tidak kesampaian apabila dia menjadi mangsa penipuan sehingga mengalami kerugian RM12,240.

Mangsa yang berusia 46 tahun dan bertugas di sebuah sekolah menengah di Pekan mahu membeli dua buah kereta terpakai dengan bayaran secara ansuran selepas tertarik melihat iklan di media sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian bermula pada 14 Ogos lalu ketika mangsa melayari Facebook di tempat kerjanya.

“Mangsa terlihat iklan jual beli kereta terpakai di laman Facebook dan telah berurusan melalui WhatsApp dengan pihak berkenaan.

“Mangsa bersetuju untuk membeli secara ansuran kereta jenis Toyota Harrier 2.0 Premium Sunroof Black 2015 dengan harga RM24,000 dan Honda Civic dengan harga RM17,000,”katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya mangsa telah membuat 10 kali pembayaran bagi tujuan deposit pinjaman, insurans, duti Kastam, cukai jalan dan proses pertukaran nama untuk dua buah kereta terbabit berjumlah RM12,240.

Jelasnya semua pembayaran dibuat ke lima akaun berbeza yang diberikan suspek sebelum mangsa menyedari ditipu apabila suspek terus meminta wang.

“Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Pekan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,”ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI