Isu beg sekolah berat bagi murid tahap satu sekolah rendah iaitu darjah 1 bukan isu baharu dan disifatkan oleh kebanyakan orang sebagai never ending story.
Pelbagai usaha telah dibuat oleh pihak sekolah termasuk menyediakan lokar di sekolah tetapi usaha itu tidak menampakkan sebarang hasil.
Lokar sukar dibuat di sekolah disebabkan kekangan ruang dalam kelas dan kebanyakan sekolah di negara ini mempunyai dua sesi iaitu pagi dan petang.
Mudah saja sifirnya – beg berat kerana buku banyak. Buku banyak kerana mata pelajaran banyak.
Dalam sehari murid belajar enam mata pelajaran bersamaan tiga buku untuk satu subjek iaitu buku teks, buku aktiviti dan buku tulis.
Buku tulis pula kadangkala ada beberapa buah untuk satu subjek dan semuanya perlu dibawa ke sekolah.
Beberapa minggu lalu, ada seorang aktivis guru melalui beberapa posting mengutarakan masalah itu di Facebooknya yang mendapat pelbagai reaksi dan menerima beribu-ribu komen.
Isu itu hangat di Facebooknya dan bagi penulis yang ada anak darjah satu ternyata apa yang diperkatakan beliau ada benarnya.
Setiap hari murid darjah satu perlu membawa 18 buah buku untuk enam subjek.
Ada ibu bapa yang menimbang berat buku itu adalah lima kilogram tidak termasuk bekal makanan dan berat beg sekolah.
Penulis sendiri pernah menggalas beg anak darjah satu ketika menghantarnya ke sekolah, ia memang berat dan hanya mampu mendoakan dalam hati agar kesihatan anak kecil penulis itu.
Aktivis itu juga ada membuat perbandingan mata pelajaran di beberapa buah negara seperti Jepun, Perancis, Abu Dhabi, United Kingdom dan Australia yang jumlahnya empat dan lima buah buku sahaja.
Apa yang diperjuangkan beliau adalah pengecilan mata pelajaran agar murid darjah satu tidak terbeban dengan berat beg sekolah.
Katanya, apa yang hendak dikejar dengan mata pelajaran yang banyak bagi murid seusia 7 tahun.
Tiba-tiba penulis teringat dengan mata pelajaran bahasa Melayu darjah satu yang bertajuk ayat tersirat dan tersurat, garu kepala juga hendak terangkan kepada anak berusia 7 tahun dan akhirnya penulis beri sahaja jawapan yang betul.
Itu bahasa Melayu, belum lagi subjek Matematik dan Sains, sebab itu ada ibu bapa yang menjadi ‘singa’ semasa mengajar anak masing-masing dalam tempoh lockdown sejak tahun lepas.