IPOH – Lokasi runtuhan tanah di Seksyen 27, Laluan FT 185, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di sini, tidak berada dalam kategori kawasan berisiko untuk berlaku tragedi seumpama itu.
Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Ir. Hamdan Ali berkata, berdasarkan rekod pihaknya terdapat tiga lokasi berisiko kejadian tanah runtuh di sepanjang laluan tersebut iaitu Seksyen 38 hingga 46.
Katanya, runtuhan tanah di lokasi yang mengorbankan dua nyawa semalam adalah pertama kali berlaku.
“Kita ada Pusat Pemantauan Cerun di Seksyen 44 di mana kita memantau cerun di tiga lokasi yang mana setakat ini dilaporkan stabil.
“Kejadian di Seksyen 27 ini tidak dijangka tetapi disebabkan kadar hujan yang tinggi dan berterusan telah menyebabkan tanah runtuh,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Berita berkaitan: Tanah runtuh, 2 disahkan maut
Menurut Hamdan, kejadian tanah runtuh itu berpunca akibat hujan berterusan di mana taburan hujan sebanyak 217 milimeter direkodkan selama dua minggu.
Katanya, keadaan itu menyebabkan kelemahan pada tebing jalan hingga mengakibatkan runtuhan.
“Kejadian ini membabitkan runtuhan besar iaitu melebihi 10,000 meter kiub tanah. Oleh kerana volume tanah yang tinggi, maka kerja-kerja pembersihan akan mengambil masa seminggu.
“Sebagai langkah keselamatan, pengurusan trafik di tapak tanah runtuh akan dijalankan sebagai makluman kepada pengguna jalan raya apabila laluan dibuka nanti,” katanya. -K! ONLINE