fbpx

Harga mahal, tanam sayur di rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Subbarow menunjukkan kaedah tanaman di kediaman dengan ruangan terhad.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihati orang ramai untuk menanam sendiri sayur-sayuran bagi mengurangkan beban kenaikan harga bahan makanan itu ketika ini.

Pegawai Pendidikannya, N. V. Subbarow berkata, ini kerana harga tinggi beberapa jenis sayur-sayuran dijangka kekal dalam tempoh agak panjang memandangkan Persatuan Penjual Sayur-Sayuran turut menganggarkan ia berterusan sehingga Tahun Baharu Cina nanti.

Jelas beliau, menanamnya sendiri di rumah boleh menjimatkan kos dan pengguna boleh menanam sayur-sayuran yang biasa dimakan dengan mudah.

“Kita tidak memerlukan ruang yang besar untuk menanam sayur-sayuran.

“Tumbuhan berbuah seperti bendi, terung, cili dan sayur-sayuran berdaun seperti sawi, kangkong, kalian, bayam dan tanaman saka pudina, pegaga, kesum dan selom boleh ditanam dengan mudah walaupun di balkoni,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Subbarow, barangan kegunaan di rumah seperti karton susu, jus dan botol minuman serta bekas kecil boleh digunakan untuk menanam tumbuhan yang mempunyai sistem akar lebih kecil seperti sayur-sayuran berdaun.

“Bagi tumbuhan yang mempunyai akar lebih besar seperti bendi dan terung, tin biskut bekas sejuk, botol minyak dan air lima liter boleh digunakan dengan mudah sebagai media tanaman,” kata Subbarow.

Ketika ini kata beliau, CAP sedang mengeluarkan baja vermi dan penggalak pertumbuhan diperkaya dengan harga berpatutan bagi mereka yang ingin memulakan aktiviti berkebun selain mengadakan latihan pertanian bandar kepada orang ramai.

“Memulakan taman di rumah sendiri adalah berbaloi kerana akan memberi manfaat kepada seluruh ahli keluarga untuk menikmati sayur-sayuran segar dan bebas kimia.

“Mereka yang tinggal di bangunan kediaman bertingkat yang mempunyai ruang terhad juga boleh mengamalkan taman bandar dengan berkesan selagi dapat memastikan tanaman mendapat cahaya matahari,” katanya lagi.

Menurutnya, orang ramai yang berminat menyertai latihan pertanian semula jadi boleh mendaftar di pejabat CAP atau menghubungi talian 04-829 9511 atau 012-537 4899. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI