SOUTHAMPTON – Bintang tengah Leicester City, James Maddison berjaya menjaringkan gol pada tiga perlawanan berturut-turut ketika membantu The Foxes bangkit mengikat Southampton 2-2 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Saint Mary awal pagi semalam.
Terdahulu, Southampton nyata pasukan yang menguasai aksi babak pertama sebelum dihadiahkan gol pembukaan seawal minit ketiga menerusi pemain, Jan Bednarek.
Bagaimanapun, pemain pertahanan tengah Leicester, Jonny Evans berjaya menyamakan kedudukan apabila menolak masuk bola muntah, namun penyerang pasukan tuan rumah, Che Adam menanduk masuk bola hantaran Nathan Redmond untuk sekali lagi berada di depan.
Susulan aksi terhenti lama disebabkan isu kecemasan perubatan, Leicester mula menyusun kembali strategi dan akhirnya berjaya apabila Maddison merembat bola menggunakan kaki kanannya menerjah ke gawang untuk gol penyamaan.
Meksipun gagal meraih kemenangan, satu mata yang diperoleh pada perlawanan ke atas The Saints sudah cukup menolak Leicester naik ke kedudukan kelapan carta EPL, manakala Southampton berada di tempat ke-16, lima mata di atas zon penyingkiran. – AGENSI