fbpx

Bala bukan terletak pada bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BANYAKKAN berdoa dan bersabar dengan ujian Allah. – Gambar hiasan

SENTIMEN ‘bulan Safar bulan sial’ sering menjadi perdebatan dan viral dalam laman sosial masyarakat masa kini.

Sedarkah kita, dalam suasana pandemik Covid-19 yang mungkin meningkat semula akhir tahun ini, kita dihambat kecelaruan pemikiran dalam memikirkan perkara remeh yang bukan keutamaan berbanding perkara lain yang lebih penting.

Namun, sebagai seorang Muslim yang sentiasa dalam keredaan Allah, mestilah mendasarkan segala perbuatan dan keputusan diambil bertunjangkan al-Quran dan hadis supaya tidak sesat dari radar akidah yang benar.

Jadi, jangan sekali-kali orang yang beriman membuta tuli menyimpan kepercayaan dan keyakinan bahawa Safar adalah bulan bala kerana kepercayaan seperti itu akan menjerumus kepada kekufuran.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Rasulullah SAW bersabda:

“Tiada wabak dan tiada keburukan binatang terbang dan tiada kesialan bulan Safar dan larilah (jauhkan diri) daripada penyakit kusta sebagaimana kamu melarikan diri dari singa”.

Baginda menafikan adanya bala, kecelakaan, wabak penyakit dan nasib buruk di bulan Safar. Hadis ini secara mutlak menyahkan kepercayaan orang-orang yang percaya Safar itu bulan sial atau membawa penyakit dan kemudaratan kepada manusia.

Berdasarkan Ibnul Jauzi daripada buku Talbis Iblis dengan pentahqiqnya, Syaikh Ali Hasan al-Halabi yang diriwayatkan oleh Aisyah, Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu dalam urusan agama kami yang tidak ada padanya, maka ia tertolak.”

Ironinya, kita sebagai umat yang terbaik wajib mempunyai keimanan yang kukuh dan padu bahawa sebarang bala itu tidak akan menimpa sesiapa menurut qada dan qadarnya, melainkan Allah yang menentukan segalanya.

Sebenarnya, beberapa jabatan mufti telah mengeluarkan fatwa yang khusus mengenai mandi Safar seperti Jabatan Mufti Sabah, Pejabat Mufti Pulau Pinang, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Muzakarah Jawatankuasa

Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang memasukkan mandi Safar sebagai salah satu perbuatan khurafat dan bertentangan dengan Islam.
Allah merakamkan dalam ayat 51 surah Taubah yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad) ‘Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang ditetapkan Allah bagi kami, Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan dengan kepercayaan itu, maka kepada Allah jua hendaknya orang yang beriman bertawakal”.

Jelaslah, daripada ayat ini hanya Allah yang boleh mengenakan sebarang musibah kepada hamba-Nya.

Jadi, umat Islam dituntut untuk sentiasa berfikir yang baik-baik dalam kehidupan seharian agar kebahagiaan sentiasa menyelubungi pentas hidup kita di dunia dan akhirat.

Ini kerana, ada masanya kita termangu dalam menghadapi keperitan ujian dan cabaran lebih-lebih lagi semasa pandemik.

Apabila masalah mendatangi kita secara bertubi-tubi seakan-akan tidak sempat untuk kita menghela nafas, biarkan semuanya berjalan dengan seadanya.

Untuk sentiasa mendamaikan fikiran dalam biasan hasrat penuh kehambaan semasa menghadapi ujian Allah ini, sepatutnya kita sentiasa berfikiran positif dengan menganggap ia merupakan kasih sayang Tuhan dalam mencari makna ‘ihsan’ dalam diri.

Yakinlah, Allah akan kirimkan khabar gembira tidak lama lagi kepada kita daripada jalan tidak disangka-sangka.

Kadang-kadang kita pun tak sedar, memang sesiapa pun akan menangis di saat diuji dengan kesusahan demi kekusutan dalam kehidupan.

Tetapi yakinlah wahai diri insan-insan yang tenang, ujian itu sebenarnya adalah cerminan kasih sayang Tuhan kepada hamba-Nya yang sentiasa dalam payung rahmat-Nya.

Sekiranya kita tahu kebaikan yang Allah simpan buat kita, pasti kita tidak akan menangis di saat menerima ujian itu.

Andainya dapat diputarkan masa yang kita dianugerahkan rezeki tidak disangka-sangka, kita akan sujud berterima kasih tidak terperi kepada Yang Maha Penyayang.

Ingatlah, bahawa Allah telah menzahirkan dalam dalam surah al-Baqarah, ayat 286 yang membawa maksud:

“Allah tidak akan membebankan seseorang hamba itu melainkan dengan apa yang terdaya olehnya”. Memang benar, tak salah untuk kita berasa penat, susah dan gusar dalam menghadapi ujian daripada Allah, tetapi yakinlah bahawa apa yang kita hadapi pada hari ini pastinya kita mampu melaluinya kerana Allah telah berjanji bahawa Dia tidak akan menguji kita sesuatu yang kita tak mampu untuk lalui.”

Oleh itu, berusahalah dengan sebaik perancangan, selain banyakkan berdoa dan terus bersabar kerana sesungguhnya Allah sentiasa bersama-sama dengan orang yang sabar.

Sebuah hadis daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ia akan dimustajabkan.

“Dan ketahuilah kamu bahawa Allah tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa”. – (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Justeru, sentiasalah pasakkan di dalam diri kita bahawa walaupun sehebat mana kita merancang, tetapi sebenarnya perancangan Allah lagi sungguh berseni dan sempurna menjangkau pemikiran insani yang amat terbatas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI