LONDON – Seorang wanita di Britain tanpa sengaja mengiklankan bayinya untuk dijual bersama kenyataan ‘perlu dijual hari ini’ ketika dia sebenarnya mahu menjual sofa miliknya, lapor akhbar New York Post semalam.
Lucy Battle, 20, cuba menjual sofa dua tempat duduknya, namun tersilap menyertakan sekali gambar bayi lelakinya.
Dia memuat naik gambar bayi berusia tujuh bulan itu di sebuah halaman jualan Facebook dan tidak menyedarinya sehinggalah menerima ratusan komen berkenaan iklan tersebut.
“Saya telah memuat naik gambar yang salah ketika memilih seleksi gambar di telefon bimbit saya.
“Ia bagaimanapun berkesan kerana salah satu mesej yang diterima adalah daripada seseorang yang bertanyakan tentang sofa itu,” katanya.
Namun, kebanyakan mesej yang diterimanya adalah daripada orang ramai yang bergurau dengan meminta Battle menjual bayinya yang bernama Oscar.
“Bolehkan saya menukarnya (bayi itu) dengan seorang remaja?,” komen seorang netizen.
“Adakah bayi anda pandai mencuci?,” komen seorang netizen lain.
Battle kemudian menjelaskan bahawa dia mengiklankan sofa dan bukan bayinya. – AGENSI