PETALING JAYA – Orang ramai yang gemar mengambil gambar kapal terbang berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kini nampaknya kecewa apabila tidak lagi dibenarkan berbuat demikian.
Seorang pengguna laman Twitter @traveljimat mendakwa, lokasi yang popular dan sentiasa sesak dengan kehadiran ramai pengunjung itu telah ditutup atas faktor keselamatan selain masalah sampah yang dibuang merata-rata.
Ramai pengguna media sosial juga mengakui lokasi itu telah dicemari dengan sampah yang dibuang pengunjung tidak bertanggungjawab.
“Ini antara contoh masyarakat yang menyusahkan masyarakat. Dekat kereta boleh simpan sampah, nak juga buang sampah merata-rata,” jelas @ItsNeoah.
“Tempat ini memang tak boleh datang pun, viral atau tidak memang tidak boleh datang atas faktor keselamatan,” kata @SyarezzaAmir
“Dekat situ ada anjung tinjau KLIA sudah buat cantik, nak juga datang tempat hujung ‘runaway’ itu,” kata @lutfisapiee – K! ONLINE