PUTRAJAYA – Hala tuju Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi asas kepada kejayaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKKM) mencapai 100 peratus Indeks Petunjuk Utama (KPI) sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pendekatan Perdana Menteri apabila mula menerajui tampuk pemerintahan adalah mengutamakan aspek sensitif dan responsif dengan kehendak rakyat.
Jelasnya, ia bagi memastikan kerajaan dilihat sebagai kepemimpinan yang berprestasi.
Katanya, dalam konteks 100 hari ataupun tiga bulan, ia bukanlah satu tempoh yang panjang tetapi perlu melihat kepada perkara perlu diatasi dengan segera terutama melibatkan isu lama tergantung ataupun prosesnya perlahan.
“Bagi saya, KPI 100 hari ini adalah satu permulaan bagi kerajaan maju ke hadapan dalam melakukan sesuatu perkara bagi jangka pendek dan segera dengan prestasi kementerian dipertingkat sekali gus memenuhi kehendak rakyat.
“Kementerian saya ini mempunyai peranan dan tugas yang sangat luas melibatkan teknologi, digital, jalur lebar dan industri kreatif, maka sudah menjadi tanggungjawab saya mengimbangi semua skop supaya memberi impak besar kepada kerajaan dan rakyat,” katanya.- K! ONLINE