PUTRAJAYA – Seorang pemilik perniagaan Gas Petroleum Cecair (LPG) mengaku tidak bersalah atas tuduhan menjalankan pemindahan haram (decanting) Gas LPG bersubsidi di sebuah premis di Kampung Baru Cheras, Kuala Lumpur pada 27 Ogos lalu.
Tertuduh, Tai Kek Sin, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Kamarudin Kamsun di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur pada 25 November lalu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati menerima hasil haram daripada aktiviti pemindahan haram dan penjualan LPG subsidi tanpa lesen sah dengan nilai keseluruhan urusniaga berjumlah RM513,344.50 bagi tempoh 2018 hingga 2020.
Tertuduh didakwa di bawah kesalahan Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] iaitu melibatkan diri, secara langsung atau tidak langsung, dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan.
Kamarudin turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 manakala, pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah. – K! ONLINE