JEMPOL – Dua sahabat masing-masing dikompaun RM2,000 selepas dikesan cuba merentas negeri dari Jengka 20, Pahang ke Felda Pasir Besar, Gemas walaupun tidak lengkap vaksinasi Covid-19.
Mereka yang sudah menerima dos pertama berkenaan ditahan di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kilometer 1, Jalan Rompin-Pasir Besar, di sini, kira-kira pukul 12.10 tengah malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, kedua-dua lelaki berkenaan berusia 21 tahun dan 31 tahun juga gagal menunjukkan kebenaran merentas negeri dari pihak polis serta alasan munasabah.
“Oleh itu, kedua-duanya didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 dan dikenakan kompaun di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu dalam SJR yang sama, Chang Hook berkata, kira-kira pukul 11.30 malam, seorang lelaki berusia 35 tahun telah ditahan susulan memiliki dadah jenis Syabu.
Menurutnya, dalam pemeriksaan ke atas lelaki yang dalam keadaan mencurigakan berkenaan telah menemui 10 paket lutsinar pelbagai saiz dan sepaket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah berbahaya jenis Syabu seberat 3.99 gram.- K! ONLINE