LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menegaskan, skuad bimbingannya mampu menjadi pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas berjaya menjulang Perisai Komuniti di Stadium Wembley kelmarin.
The Gunners meraih gelaran itu buat kali ke-16 selepas berjaya menewaskan juara bertahan EPL, Liverpool 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam tempoh 90 minit permainan tersebut.
Keyakinan pengendali berusia 38 tahun itu lebih meningkat berdasarkan kecemerlangan semasa ketua pasukan, Pierre-Emerick Aubameyang yang terus berjaya menjaringkan gol buat Arsenal.
“Kami semakin hampir untuk mencapai persetujuan (berhubung kontrak baharu Aubameyang). Dia adalah wira kami pada final Piala FA baru-baru ini dan sekali lagi mempamerkan kecemerlangannya buat Arsenal hari ini (kelmarin).
“Saya akan cuba sedaya upaya untuk memujuk Aubameyang kekal di sini kerana saya sangat positif bahawa sesuatu akan menjelma pada musim ini,” katanya.
Aubameyang berjaya menjaringkan gol cantik buat Arsenal pada minit ke-12 sebelum Liverpool bangkit menyamakan kedudukan melalui percubaan Takumi Minamino pada separuh masa kedua.
Penyerang berusia 31 tahun itu juga berjaya menyudahkan sepakan penalti terakhir untuk memastikan The Gunners ditabalkan sebagai juara perlawanan tersebut.
Ia secara tidak langsung menyuntik semangat barisan pemain Arsenal untuk memulakan kempen musim baharu EPL dengan langkah kanan menjelang perlawanan pertama menentang Fulham di Craven Cottage pada 12 September ini. – AGENSI