TAMPIN – Seorang warga emas ditemui mati lemas di sungai belakang rumah selepas dilaporkan tidak pulang ke rumah sebaik keluar selepas waktu Asar di Kampung Tengah, di sini, tadi.
Dalam kejadian berkenaan, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemencheh diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Ruslan Jamli bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat pada pukul 8.30 malam.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemencheh, Norfaizal Ahmad, pasukan bomba mendapat maklumat berkenaan dari cucu mangsa yang bimbang datuknya, Ahmad Sudin, 87, tidak pulang-pulang ke rumah sejak keluar selepas waktu Asar.
“Kali terakhir, mangsa dipercayai menjaring ikan di kawasan sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya.
“Pasukan tiba di lokasi pada 8.33 malam dan dalam masa kurang dua minit, mangsa ditemui tersangkut di dahan pokok tumbang tidak jauh dari lokasi mangsa memasang jaring,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Norfaizal berkata, sebaik menemui mangsa, anggota bomba cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR), namun mangsa tidak dapat diselamatkan dan disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan paramedik.
Menurutnya, mangsa diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan selanjutnya dan dihantar ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat. – K! ONLINE