PETALING JAYA – Selepas harganya mencecah puluhan ribu ringgit, kini pemilik motosikal Yamaha RXZ mula mencari alternatif untuk melindungi motosikal ‘kayangan’ itu daripada menjadi mangsa penjenayah.
Terbaharu, tular di laman Facebook seorang pemilik motosikal berkenaan telah mengubah suai motosikalnya dengan menggunakan teknologi ‘fingerprint’ (imbasan jari) bagi menggantikan kunci.
Menerusi video berdurasi satu minit 54 saat itu, kelihatan motosikal dipercayai milik seorang mekanik itu telah diubah suai pada bahagian kunci utamanya dengan penggunaan teknologi imbasan jari.
Susulan perkongsian terbabit, rata-rata pengguna laman sosial memuji usaha yang telah dilakukan pemiliknya bagi melindungi motosikal tersebut daripada hilang dicuri.
“Bagus idea ni, menangis pencuri nak ‘start’ kalau curi motosikal ini, terpaksa ‘curi’ jari owner (pemiliknya) sekali,” tulis Omar Din.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Muhd Fazdli.
“Kira owner je la boleh bawak , orang lain nak pinjam tak dapat la geng,” tulisnya.
Bagaimanapun ada juga netizen yang turut mempersoalkan jika jari pemiliknya cedera macam mana untuk menghidupkan suis motosikal terbabit.
“Kalau jari owner cedera macam mana? Lagi satu aku harap jaga la jari tu baik-baik ye, takut ada yang kerat nanti,” tulis Man Rock.-K! ONLINE