LONDON – Pemain tenis sensasi Britain, Emma Raducanu mengorak langkah dengan menjalani latihan pramusim minggu ini bagi memantapkan fizikal serta mental sebelum siri Jelajah WTA musim baharu awal bulan depan.
Kata Raducanu, permulaan awal cukup penting bagi memastikan fokus untuk menjulang kejayaan di pentas kompetitif menjadi kenyataan selepas aksi yang kurang memberangsangkan sejak dua bulan lalu.
“Selepas berakhirnya Siri Jelajah WTA bulan lepas, saya ambil keputusan berehat selama enam hari sebelum menjalani latihan semula minggu ini sebagai persiapan musim baharu bulan depan.
“Buat masa ini, saya akan memantapkan tahap kecergasan fizikal dan mental sebelum menumpukan aspek taktikal kerana saya akan harungi musim panjang nanti dan perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan.
“Sementara itu, saya akan terbang ke Asia Barat pada minggu depan untuk meneruskan sesi latihan pramusim di sana sebelum mengakhiri persiapan di Australia bermula 17 Disember depan,” kata pemain berusia 19 tahun itu.
Raducanu yang kini menduduki ranking No.19 dunia sebelum ini mencipta sensasi tersendiri apabila menjulang trofi bertaraf Grand Slam pertama pada kejohanan Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung di New York, September lepas.
Kini, Raducanu berharap tuah dapat diteruskan pada kejohanan Grand Slam pada saingan Terbuka Australia bulan depan meskipun dijangka mendapat tentangan sengit daripada beberapa pemain ternama dunia. – AGENSI