Oleh MOHD FITRIE MUHAMAD
BOJAN Hodak memacu Kuala Lumpur City menjulang Piala Malaysia membuktikan wang ringgit bukan penentu kepada kejayaan sesebuah pasukan.
Sebelum aksi, ramai yang merumuskan final Piala Malaysia musim ini mempertemukan pasukan dua darjat dan majoritinya meramalkan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menang mudah.
Sebaliknya, kejayaan Kuala Lumpur City (KL City) menewaskan JDT 2-0 kelmarin membuktikan skuad The City Boys lebih kaya aspek jiwa dan kemahuan pemain.
Ketika banyak pasukan cenderung merekrut muka baharu, tindakan KL City melantik Bojan amat tepat apabila beliau memacu KL City musim ini selain boleh digelar pakar taktikal bola sepak Malaysia.
KL City tidak memiliki skuad besar seperti JDT, Selangor FC dan Terengganu FC yang ada feeder club, sebaliknya Bojan hanya boleh bereksperimen dengan menyenaraikan Romel Morales di jentera serangan.
“Sistem tidak bermain, tetapi pemain yang bermain,” kata Bojan merujuk sistem yang diguna pakai pada aksi final kali ini.
“Kami merancang sebagai satu pasukan dan pemain berdisiplin sepanjang 90 minit. Kami tunjuk video perlawanan JDT untuk cari cara menyekat mereka.
“Saya sudah katakan, jika 30 minit pertama kami tidak bolos, maka kami akan menang. Perlawanan malam ini cukup hebat, pemain gembira, penyokong negeri lain juga gembira,” katanya.
Untuk rekod, sejak 10 tahun lalu, Hodak cukup sinonim dengan kejayaan apabila dua kali memenangi Piala Malaysia dalam empat penampilan, malah pernah membantu skuad bawah 19 tahun (B-19) Malaysia menjuarai Kejohanan AFF B-19 pada 2018.
Dengan kepakaran dimilikinya, sudah ada yang melabelkan Bojan sebagai jurulatih terbaik.
“Saya bernasib baik dan saya tidak boleh berkata apa-apa tentang diri saya. Hanya kamu yang boleh katakan tetapi bagusnya, saya ada keputusan baik dan ini bagus untuk resume saya,” katanya.