KETIKA sinema dunia berdepan ketidaktentuan akibat pandemik Covid-19, masih ada yang meletakkan keyakinan bahawa industri perfileman masih mempunyai sinar dan harapan.
Jika kebanyakan tauke wayang di seluruh dunia sedang menghitung nasib, masih ada pihak yang optimis tentang kaedah terbaik untuk memasarkan filem meskipun jalannya masih samar tanpa sebarang jaminan.
Bagi Faizatul Hasanah Hussain yang berpengalaman luas dalam bidang penerbitan, dia percaya sinema tempatan dan dunia secara amnya masih mampu hidup, namun perlu mengubah cara pemasaran mengikut perubahan semasa.
“Tidak pernah siapa menyangka dunia akan berubah sekelip mata akibat pandemik ini. Siapa pernah meramal yang kehidupan kita akan berubah dengan mematuhi pelbagai prosidur operasi standard (SOP)? Begitu juga dengan filem, perubahan ini yang sedang kita lalui hari ini.
“Apa pun yang terjadi, industri filem tetap hidup. Sebagai penerbit filem, kita perlu berani menghadapi situasi ini dan bersikap optimis,” kata wanita yang lebih mesra disapa dengan panggilan Hana itu.
Sebagai penerbit, dia tidak boleh meletakkan kutipan panggung sebagai penanda aras semata-mata sebaliknya menggunakan pelbagai platform termasuklah menjual filem kepada stesen televisyen atau platform digital popular.
Tambahnya, cara sebegitu pasti sekurang-kurang mampu memberikan pulangan semula kepada pelabur dan penerbit filem walaupun untuk jangka masa yang panjang. Kaedah tersebut lebih baik daripada membiarkan sahaja sinema tempatan ‘mati’ dalam diam tanpa sebarang produk baharu.
“Ini risiko yang perlu diambil tetapi untuk orang industri, tiada yang mustahil.
“Sebagai penerbit, dengan adanya aktiviti penggambaran. saya berkongsi rezeki dengan sebahagian krew produksi yang sudah berbulan-bulan tidak bekerja.
“Sedikit sebanyak ini memberikan mereka senyuman dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu,” katanya yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Janet- Sumpahan Terlarang.
Bercerita mengenai filem tersebut pula, Hana yakin naskhah yang diambil daripada kisah legenda Sarawak itu cukup popular dalam kalangan penduduk di sana.
Diterbitkan Kaya Kenyalang Sdn. Bhd. filem berkenaan mengisahkan seorang gadis bernama Janet yang dianiayai insan yang dicintainya sehingga berlakunya satu tragedi.
Pelbagai aspek diterapkan antaranya dendam, seram, sejarah, persahabatan, cinta dan kekeluargaan menerusi karya yang ditulis oleh Nazri M. Annuar itu.
Penggambaran filem berkenaan dilakukan di Sarawak, namun disebabkan pandemik, lokasinya berubah ke sekitar Janda Baik, Pahang dan Kuala Lumpur.
Sepanjang 15 hari penggambaran, pelakon dan kru turut mengalami beberapa gangguan aneh dan misteri, namun tidak patah semangat demi menyelesaikan komitmen.
Diarahkan oleh Mohd. Azhar Mohd. Khalid atau lebih mesra dipanggil Apache, dengan pelakon yang terlibat termasuklah Safar Ghafar, Bulan Terry, Aliff Hadi, Ifa Raziah, Esma Daniel dan Ropie Cecupak.