IPOH – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah melupuskan 1,604 barang kes membabitkan 414 kertas siasatan yang sudah diselesaikan.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pelupusan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tapah itu melibatkan empat kes kontraband, lima kes bitcoin, 90 kes perjudian dan 315 barang kes am.
“Dalam pelupusan ini, pihak polis telah melupuskan sebanyak 944 kotak rokok pelbagai jenama, 185 unit mesin bitcoin, 125 barang kes perjudian dan 350 barang kes am.
“Kesemua barang kes bernilai RM1.5 juta itu telah mendapat arahan pelupusan daripada Timbalan Pendakwa Raya di mana kertas siasatan berjaya dituduh dan dijatuhi hukuman oleh mahkamah dari tahun 2016 hingga tahun ini,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pelupusan barang kes tersebut dijalankan di kawasan tanah lapang di lapang sasar IPD Tapah dengan cara pembakaran sebelum ditanam menggunakan jentera. – K! ONLINE