KOTA BHARU – Seorang wanita warga emas maut selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum merempuh dua buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Cherang di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 1.40 tengah hari itu, mangsa, Rakiah @ Zainun Jusoh, 72, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian dada.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, siasatan awal mendapati, sebuah van jenis Datsun dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun dan sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu wanita berusia 31 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Paya Rambai.
Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, kedua-dua buah kenderaan itu masing-masing berhenti lorong kiri dan kanan jalan memandangkan lampu isyarat merah.
“Siasatan mendapati, kereta jenis Proton Persona yang dipandu warga emas itu datang arah yang sama berada di belakang kedua-dua buah kenderaan tersebut.
“Bagaimanapun, kereta itu dipercayai dipandu laju sebelum terbabas dan merempuh belakang van dan kereta tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Abdul Rahim, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini untuk dibedah siasat.
Katanya, bagaimanapun, pemandu van dan kereta yang dirempuh dalam kejadian itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya,kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE