fbpx

Orang Kelantan hati-hati beli ayam Siam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG peniaga di sebuah pasar awam di George Town terpaksa menjual ayam tidak matang bersaiz hanya sebesar tapak tangan.
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

Kosmo! baru-baru ini mendedahkan, terdapat segelintir peniaga ayam di Kelantan bersekongkol dengan penyeludup untuk membawa masuk ternakan itu dari Siam demi mengaut untung atas alasan tidak mampu menampung kos operasi yang tinggi.

Mereka mendakwa harga ayam hidup yang ditawar oleh pembekal terlalu tinggi berban­ding dari negara jiran.

Harga ayam hidup seludup boleh dibeli pada harga RM5.50 hingga RM6 sekilogram dan boleh dijual pada harga RM9 hingga RM9.50.

Bagaimanapun, jika peniaga membeli ternakan itu daripada pembekalan tempatan, harganya mencecah antara RM7.50 hingga RM8 sekilogram.

Kesemua ternakan ayam dari negara jiran itu dibawa masuk ke negara ini melalui pangkalan haram di sekitar Rantau Panjang.

Seorang penternak, Mohd. Radzuan Hamat, 55, berkata, mereka terpaksa menaikkan harga ternakan itu disebabkan kos bahan mentah tinggi.

Dia memberitahu, sebelum ini dedak ayam dijual pada harga RM60 untuk 50 kilogram.

“Kini, penternak membeli dedak pada harga RM110 untuk berat yang sama. Kenaikan berlaku sejak negara dilanda Co­vid-19.

“Kami tiada pilihan lain apabila terpaksa menaikkan harga ternakan ayam untuk dijual kepada peniaga,” katanya.

Menurut Mohd. Radzuan, permintaan ketika ini tinggi, namun ayam tempatan berkurangan juga merupakan antara faktor kenaikan.

Dia mengakui ada peniaga ayam yang membeli bekalan ayam hidup dari Siam ekoran tidak mampu untuk menanggung kos ternakan yang tinggi.

“Kebanyakan penternak ayam membeli anak-anak ayam dari Perak dan Pulau Pinang sebelum diternak di sini. Kos untuk membeli dedak sudah meningkat sehingga menyebabkan mereka kurang berminat untuk menternak ayam.

“Saya berpendapat, penternak dan peniaga mengambil bekalan dari Siam kerana tidak mahu menanggung pelbagai kos. Disebabkan itu mereka memilih jalan mudah dengan membeli daripada penyeludup,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Pengguna Islam Kelantan, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani menggesa pihak yang terlibat agar segera memantau aktiviti penyeludupan ayam hidup seludup di sempadan negara.

Menurutnya, penjualan ayam seludup di negeri ini boleh memberi pelbagai implikasi tidak kira positif atau negatif terhadap pengguna khusus umat Islam.

Ujarnya, jika penjualan ayam Siam itu tidak menepati kriteria untuk jualan di negara ini, penjualannya wajar dihentikan de­ngan segera sebagai langkah untuk mengelakkan sebarang kemudaratan di kemudian hari.

“Pengguna terutamanya di Kelantan perlu lebih bijak jika mahu membeli ayam-ayam pro­ses yang dijual di pasaran. Tidak salah untuk kita bertanya lebih lanjut kepada peniaga kaedah atau cara mereka memperoleh bekalan ayam itu.

“Perkara itu kelihatan remeh, namun ia merupakan hak sebagai pengguna. Peniaga menjual ayam yang siap diproses, jadi kita tidak tahu sumber mereka mendapat bekalan. Tidak salah untuk kita bertanya serba sedikit kepada mereka,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut Mohd. Fared, ayam-ayam seludup itu sudah tentu tidak menjalani prosedur tertentu yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia sebelum membawa masuk haiwan ternakan tersebut.

Ujarnya, beliau menyarankan agar peniaga ayam mengambil bekalan daripada penternak ayam tempatan kerana situasi semasa masih terkawal dan tidak perlu bergantung kepada bekalan dari negara jiran.

Tambahnya, pilihan ada di tangan peniaga, sama ada mahu mengaut untung berlebihan dengan membeli ayam Siam atau untung yang sedikit dengan mengambil ternakan tempatan sekali gus membantu menjaga hak pengguna di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI