PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kegusaran terhadap penularan varian baharu Covid-19 iaitu Omicron yang menular ke banyak negara seluruh dunia.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudin dalam kenyataan berkata, Baginda menzahirkan kebimbangan susulan keputusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkategorikan varian Omicron sebagai Variant of Concern (VOC) yang diklasifikasikan sebagai lebih berbahaya dan cepat merebak berbanding varian-varian terdahulu selain berpotensi mengurangkan keberkesanan vaksin.
“Seri Paduka Baginda menasihati seluruh rakyat terus beristiqamah dalam kawalan kendiri dan berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
“Baginda menyeru rakyat sentiasa berwaspada dan tidak alpa dalam menjalankan aktiviti-aktiviti harian dengan norma baharu bagi memastikan penularan wabak Covid-19 khususnya Omicron dapat dibendung walaupun tiada kes varian baharu ini dilaporkan di Malaysia,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, Seri Paduka Baginda turut menasihati rakyat, supaya melengkapkan suntikan dos vaksin dan mendapatkan dos penggalak bagi melindungi diri dan memelihara kesihatan serta keselamatan diri, keluarga dan masyarakat.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan supaya rakyat melaksanakan tanggungjawab sosial dengan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan jika bergejala dan mengasingkan diri jika disahkan positif atau ditakrifkan sebagai kontak rapat sekali pun tidak bergejala.
“Baginda berpandangan bahawa segala pengorbanan dan usaha-usaha kita bersama pihak berkuasa serta petugas barisan hadapan selama ini dalam memerangi Covid-19 akan menjadi sia-sia sekiranya negara menghadapi ancaman gelombang baharu penularan wabak ini,” katanya.
Jelasnya, Seri Paduka Baginda menzahirkan sokongan penuh terhadap kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan, kawalan sempadan dan survelan Covid-19 bagi pengembara yang tiba di pintu masuk negara, terutamanya dari negara yang terdapat kes varian Omicron.
“Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap langkah-langkah proaktif yang diambil KKM dalam mempertingkatkan kesiapsiagaan di hospital-hospital dan klinik-klinik kerana dijangkakan bilangan kes harian Covid-19 akan meningkat sekiranya varian ini menembusi negara.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan keyakinan bahawa kerjasama dan komitmen antara rakyat dan kerajaan penularan jangkitan Covid-19 khususnya varian Omicron dapat dikekang demi keselamatan diri serta kesejahteraan negara yang dicintai,” jelasnya.
Tegasnya, Baginda mengajak rakyat untuk bersama mendoakan agar rakyat Malaysia dan negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera. – K! ONLINE