PETALING JAYA – Kerajaan sedang mempertimbangkan beberapa inisiatif kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta memastikan berada di setiap daerah dengan pembangunan premis bangunan milikan sendiri secara berperingkat dan perolehan aset di darat, udara dan darat yang sesuai bagi khidmat pantauan serta carilamat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Abdul Latiff Ahmad berkata, inisiatif berkenaan adalah berpandukan kepada matlamat yang digariskan APM dalam Pelan Strategik 2021-2025 APM dan di bawah Rolling Plan 2 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2022.
“Selain itu, perolehan kelengkapan perlindungan diri (PPE) bagi anggota dan pegawai APM untuk mendepani situasi bencana, krisis dan kecemasan serta perolehan kemudahan latihan dan fasiliti simulator secara berperingkat di empat Institusi Latihan Pertahanan Awam (ILPA).
“Tumpuan juga turut diberikan kepada penyelenggaraan dan perolehan baharu peranti serta beberapa kelengkapan untuk Sistem Amaran Awam di seluruh negara serta pembangunan berfasa sistem pengurusan bencana secara digital kepada rakyat yang dikenali sebagai TRAC APM,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas-Kuala Krai) yang ingin tahu mengenai inisiatif kerajaan untuk memastikan APM dilengkapi insfrastruktur dan fasiliti lengkap supaya agensi itu lebih bersiap siaga dalam pengurusan bencana seperti banjir di setiap peringkat.
Tambahnya lagi, melalui inisiatif ini, ia membuktikan kerajaan sememangnya memandang serius mengenai keperluan APM dalam pengurusan bencana dan khidmat kemanusiaan bagi melindungi nyawa serta harta benda seperti tugas serta peranannya yang termaktub dalam Akta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia 1951 (Akta 221). -K! ONLINE