GEORGE TOWN – Kenaikan harga beberapa jenis sayuran di negeri ini dijangka hanya bersifat sementara memandangkan ia dipengaruhi beberapa faktor seperti keadaan cuaca di Cameron Highlands serta peningkatan kos racun dan baja.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd. Ridzuan Ab Ghapar berkata, menerusi pemantauan pihaknya, terdapat harga sayuran yang meningkat sehingga 100 peratus pada minggu kelima November seperti kacang buncis.
Bagaimanapun, katanya, terdapat juga harga sayuran mengalami penurunan harga antaranya tomato (turun 43 peratus), brokoli (27.7 peratus) dan limau kasturi (31.5 peratus).
“Turun naik harga sayur-sayuran sentiasa berubah, mengikut alasan para pembekal pada musim hujan akan ada kenaikan harga pada harga sayur-sayuran serta ada kenaikan kos pada harga baja.
“Jadi kita telah menjalankan Ops Pasar (Sayur 2) ke atas rangkaian pengedaran sayur daripada pengimport, pemborong dan peruncit di Pulau Pinang untuk mendapatkan maklumat punca kenaikan sayur di pasaran,” katanya kepada pemberita selepas meninjau harga barangan keperluan di Pasar Awam Bayan Baru di sini hari ini.
Menurutnya, daripada 100 pemeriksaan ke atas premis perniagaan, pihaknya mengeluarkan 20 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPBM) dan 10 Notis Bertulis (NB) untuk mendapatkan harga sayuran bagi Ops Pasar. – K! ONLINE