KEJAYAAN Kuala Lumpur City (KL City) menjulang Piala Malaysia kelmarin tidak hanya mendatangkan keceriaan kepada penyokong setia pasukan warga kota itu malah turut menggembirakan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Sambil mengucapkan tahniah atas kejayaan pasukan bimbingan Bojan Hodak itu, Muhammad sanusi menerusi satu status di Facebooknya memaklumkan beliau tumpang gembira di atas kejayaan tersebut.
“Tahniah KL City, saya dan jutaan peminat bola sepak tumpang gembira,” katanya menerusi status Facebook yang dimuat naik sebaik tamat perlawanan akhir kelmarin.
Pada perlawanan itu, KL City menewaskan JDT 2-0, sekali gus menamatkan penantian skuad Warga Kota selama 32 tahun untuk menjulang piala keramat iaitu Piala Malaysia.
Dua gol kemenangan KL City dijaringkan pemain sayap, Zharif Yahya pada minit ke-66 dan kapten mereka, Paulo Josue pada minit ke-74.
Kejayaan itu cukup manis bagi skuad warga kota memandangkan mereka sebelum ini sering dilabelkan sebagai pasukan bukan pilihan, sebaliknya kini menjadi juara pada ulang tahun ke-100 Piala Malaysia.
Tidak berakhir di situ, beberapa minit kemudian Muhammad Sanusi turut memuat naik satu lagi status yang mempunyai kaitan dengan ‘harimau’.
“Sapa (Siapa) ada gambaq (gambar) rimau (harimau) jalan tersipu-sipu?” katanya yang turut disertakan dengan emoji ketawa. – K! ONLINE