fbpx

Zee Avi ‘mengidam’ resepsi di Kuching

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyanyi Zee Avi mendedahkan mula berkenalan dengan Kenji yang juga penganalisa kandungan sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) sejak empat tahun lalu.

PETALING JAYA – Penyanyi asal Sarawak yang mencipta nama di Amerika Syarikat, Zee Avi menyimpan impian mengadakan majlis resepsi di Kuching bagi menghimpunkan keluarga dan rakan dari luar negara supaya dapat mengenali keunikan budaya Malaysia.

Katanya yang mengahwini warga Jepun Kenji Matano pada 22 November lalu, situasi pandemik global memaksa mereka melaksanakan perkara wajib dahulu selepas beberapa kali menunda majlis pernikahan yang sepatutnya diadakan sekitar awal tahun ini.

“Ikutkan kami sekeluarga sudah meninjau lokasi pernikahan dan resepsi di Perkampungan Budaya selain berbincang dengan cef bagi memilih hidangan yang sesuai untuk kedua-dua acara yang dirancang pada Mac.

“Kami dapat visualkan seluruh saudara mara kami berkumpul pada hari itu bersama rakan-rakan sepermainan sejak kecil selain mengundang ramai kawan saya ketika tinggal di New York dan Los Angeles serta seluruh pelosok tempat lain.

“Sudah tentu saya ingin semua insan penting dalam hidup saya menikmati momen indah di tanah tumpah darah saya di Kuching ini tetapi itu belum boleh direalisasikan buat masa ini.

“Selepas beberapa kali tertangguh, kami sepakat untuk melangsungkan dulu pernikahan yang hanya membabitkan 15 ahli keluarga terdekat dan kenalan rapat ayah,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.

Selepas majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Bukit Antarabangsa, kata Zee, semua tetamu dibawa menjamu selera di kediaman keluarganya yang dimasak ibunya sendiri.

Berkongsi kisah perkenalan, Zee atau nama sebenarnya, Izyan Alirahman 35, bertemu Kenji yang juga penganalisa kandungan sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) sejak empat tahun lalu.

Pada awal pertemuan di satu acara di Kampung Attap, lelaki tersebut tidak tahu dirinya penyanyi namun terus mendengar lagunya sebaik menyaksikan persembahan Zee membawakan Kantoi malam itu.

“Saya masih ingat selepas berbual seketika tetamu lain meminta saya menyanyi. Saya capai ukelele dan terus beraksi membuatkan Kenji tertanya-tanya identiti sebenar saya.

“Kami berkawan seperti biasa. Dia baik hati, memahami, tenang dan penyabar sekali gus mempunyai sisi peribadi bagus, berbeza dengan saya. Personaliti kami agak berbeza.

“Sebenarnya saya gembira dia tidak tahu siapa saya sebelum ini. Jadi, dia dapat kenal Zee Avi yang sebenar malah dia sahabat juga yang sentiasa di sisi membuatkan saya yakin dia lelaki terbaik,” katanya yang mendedahkan dilamar bertepatan hari lahirnya pada Disember tahun lalu.

Ditanya tindakan merahsiakan pernikahan, dia menyatakan tiada niat berbuat sedemikian sebaliknya merancang untuk berkongsi berita baik itu selepas selesai sesi fotografi perkahwinan.

Bagaimanapun, gambarnya mengenakan baju kurung moden putih lengkap berselendang dan mengenakan inai di jari tular di media sosial usai majlis membuatkannya tidak mampu berbuat apa-apa.

“Sebenarnya kami sudah memanggil jurugambar dan juruvideo supaya dapat sediakan gambar yang cantik untuk dikongsikan dengan media.

“Tetapi ketika saya masih lagi menyarung baju pernikahan, saya perasan notifikasi berkenaan pernikahan saya. Mujur maklum balas yang diterima positif.

“Disebabkan itu, saya memutuskan untuk berkongsi semua orang selepas semua urusan selesai kerana keseluruhan proses ini agak mencabar,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai bulan madu, pasangan tersebut merancang untuk ‘terbang’ ke kampung halaman Kenji, di Tokyo untuk bertemu ibu bapa serta sanak saudara suaminya.

“Kalau boleh kami mahu ‘melihat’ dunia bersama-sama sebab Kenji pun suka mengembara. Cuma dalam situasi sekarang memang agak sukar.

“Buat masa ini kami rancang mahu berjumpa keluarganya di Tokyo dulu tahun depan sambil berbulan madu.
Harap-harap situasi yang melanda global ini dapat kembali seperti sedia kala.

“Jadi sekarang kami selesaikan urusan di sini sebab Kenji pun bekerja manakala saya dalam perancangan melancarkan single baharu. Lagu semua sudah siap, tunggu masa yang sesuai.

“Dari segi keserasian pada budaya kita, rasanya suami saya sangat fleksibel. Saya sudah perkenalkan banyak makanan padanya terutama sambal belacan. Dia okey,” tambah Zee lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI