fbpx

PM akui berlakunya kenaikan harga barang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri ketika membuat pemeriksaan harga barangan di MyFarm Outlet Kasih Putrajaya hari ini. - Foto FAIZ ALIFF

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui berlakunya kenaikan harga barangan ketika ini dan kerajaan menerusi beberapa kaedah sedang berusaha untuk mengatasinya.

Ismail Sabri berkata, antara usaha yang akan diambil kerajaan termasuklah menghentikan sementara eksport ikan serta membawa masuk bekalan ayam sejuk beku dari luar negara sebagai usaha mengawal kenaikan harga barang yang sedang berlaku.

“Kita akui terdapat kenaikan harga barang ketika ini dan saya faham rakyat sedang marah, saya tidak salahkan mereka (rakyat) dan kerajaan akan melakukan sesuatu untuk menyelesaikan isu ini.

“Sebagai permulaan kita akan menghentikan eksport ikan keluar negara termasuk memenuhi pasaran dengan bekalan ikan sejuk beku Q’fish daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat lawatan dan pemeriksaan harga barangan dengan diiringi oleh Menteri Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ronald Kiandee di Myfarm Outlet Kasih Putrajaya di sini semalam.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan juga akan membawa masuk bekalan ayam sejuk beku dari luar negara bagi memenuhi permintaan pengguna sekaligus membolehkan rakyat Malaysia untuk membuat pilihan ketika berbelanja.

“Sebanyak 200 kontena ayam sejuk beku akan dibawa masuk bermula minggu hadapan dalam usaha untuk membanjiri pasaran dengan ayam luar yang lebih murah daripada ayam tempatan. Pengguna haruslah mempunyai kuasa untuk membuat pilihan.

“Perbincangan juga telah dilakukan dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mengkaji isu kenaikan harga ini termasuk mengenalpasti punca kenaikan kerana kita perlu telus dalam isu ini,” ujar beliau.

Tambah beliau, kerajaan menerusi MAFI dan KPDNHEP juga akan mengkaji semua rantaian orang tengah yang dilihat turut menyumbang kepada kenaikan harga barangan yang dirasakan terlalu mendadak.

“Tindakan akan diambil kepada peniaga yang dikesan mengambil kesempatan dengan menaikan harga sekaligus membebankan pengguna.

“KPDNHEP akan melakukan penguatkuasaan dengan lebih tegas dan jika ada sebarang manipulasi harga dikesan, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil. Saya tidak mahu ada kompromi dengan mereka yang menaikkan harga sesuka hati,” tegas beliau.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan sebuah syarikat pengeluar ais yang menaikkan harga barangan itu seperti dilaporkan media semalam, Ismail Sabri menegaskan bahawa tiada sebab untuk berbuat demikian.

“Harga ais tidak sepatunya dinaikan kerana tiada kenaikan tarif air dan elektrik, kita beri air dengan harga yang mudah di negara ini.

“Tidak ada sebab untuk naikkan harga, kalau kilang ais batu nak naikkan harga,” ujar beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI