JOHOR BAHRU – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) memohon maaf kepada penyokong setelah tewas 0-2 di perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-100 kepada Kuala Lumpur City (KL City) di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Kenyataan itu dimuat naik di Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers tengah malam tadi selepas tamat perlawanan akhir itu.
Menurut kenyataan itu, JDT melalui musim yang baik setelah memenangi dua trofi Liga Super dan Piala Sumbangsih selain melangkah ke pentas final piala berprestij itu malam tadi
“Selamat Malam Keluarga JDT. Kami minta maaf kerana tidak dapat menambah yang ketiga tetapi ianya tetap merupakan musim yang baik untuk kami dengan dua trofi, memenangi Liga Super Malaysia dan Piala Sumbangsih.
“JDT juga layak sehingga ke pusingan akhir Piala Malaysia pada ulang tahunnya yang ke-100, serta memastikan sekali lagi ke Liga Juara-Juara AFC (ACL).
“Terima kasih untuk musim yang menakjubkan!,” katanya menerusi hantaran di Facebook yang mendapat reaksi positif dalam kalangan penyokong.
Terdahulu, di laman Facebook yang sama, JDT turut memuji pasukan The City Boys yang muncul pemenang Piala Malaysia edisi ke-100.
Kemenangan itu juga cukup bermakna buat skuad The City Boys yang menamatkan penantian selama 32 tahun untuk mendakap kembali piala berprestij berkenaan selain meraih tiket ke Piala AFC musim depan.
Sebelum perlawanan bermula, pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meluahkan kegembiraan setelah skuad Harimau Selatan beraksi di final Piala Malaysia bersempena ulang tahun ke-100 pertandingan yang disifatkan sebagai satu penghormatan.
Walaupun belum aksi final bermula, Tunku Mahkota Johor itu turut tumpang gembira sekiranya KL City menang perlawanan itu dan seterusnya beraksi di kejohanan AFC musim depan.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada skuad dan pengurusan Kuala Lumpur City kerana mencipta sejarah mara ke final selepas 32 tahun.
“Jikalau kita memenangi trofi ini, ia akan menjadi sebuah lagi trofi untuk tahun ini selepas memenangi Liga Super Malaysia untuk layak ke Liga Juara-Juara AFC sekali lagi, dan juga Piala Sumbangsih.
“Jikalau tidak menang, saya sebenarnya gembira dapat melihat pasukan seperti KL bermain dalam saingan Piala AFC tahun hadapan,”tulisnya.-K! ONLINE
Habis