MANCHESTER – Pengumuman Lionel Messi sebagai pemain terbaik dunia menimbulkan kemarahan Cristiano Ronaldo yang mendakwa ketua Ballon d’Or, Pascal Ferre sebagai penipu besar.
Dalam keputusan akhir Ballon d’Or menyaksikan Ronaldo sekadar menduduki tempat keenam, namun bintang Portugal itu mendakwa yang Ferre menggunakan namanya untuk kejar publisiti.
Reaksi balas Ronaldo itu sebagai jawapan kepada dakwaan Ferre yang mengatakan pemain Manchester United itu mahu menjadi lebih baik berbanding Messi.
Ronaldo berkata, Ferre menggunakan namanya untuk promosi, penerbitan dan majlis anugerah berkenaan.
“Kenyataan Pascal Ferre minggu lalu mengatakan saya mengaku kepadanya yang cita-cita saya adalah untuk menamatkan karier dengan memenangi Golden Ball lebih banyak daripada Lionel Messi.
“Pascal Ferre menipu, dia gunakan nama saya untuk mempromosikan dirinya dan penerbitan yang dia usahakan. Adalah sesuatu yang tidak boleh diterima bagi seseorang yang bertanggungjawab dengan anugerah seperti ini bercakap bohong.
“Ia seakan-akan tidak menghormati pemain yang menghormati bola sepak Perancis serta Ballon d’Or. Atas dasar semangat kesukanan dan fair play, saya sentiasa mengucapkan tahniah kepada mereka yang menang dan saya lakukannya kerana saya tidak pernah menentang sesiapapun.
“Saya sentiasa menang untuk diri sendiri, kelab dan mereka yang sayangkan saya. Cita-cita saya untuk menang bersama pasukan kebangsaan, kelab dan menjadi contoh terbaik kepada mereka yang mahu menjadi pemain profesional,” tegas Ronaldo. – AGENSI