PETALING JAYA – Penyanyi dan pengacara Sissy Imann mendedahkan pernah berdepan tekanan emosi disebabkan masalah jerawat kronik yang dihidapinya sejak dua tahun lalu.
Kongsi Sissy, 26, masalah kulit yang dialami pada 2019 memberi kesan pada jiwanya apabila dilemparkan dengan pelbagai kata-kata negatif termasuk pengotor oleh netizen.
“Saya rasa semua orang tahu. Saya ada berkongsi sebuah video sedang menangis disebabkan sedang mengalami masalah kulit yang teruk.
“Masalah kulit muka berjerawat menjadi semakin teruk dari tahun ke tahun sehingga pada pertengahan tahun ini (2021),” kata pemilik nama lengkap Sissy Imann Mohammad Kamil tersebut.
Menurut pelantun lagu Mungkin Kamu itu, hatinya pernah ‘disiat-siat’ gara-gara dilemparkan dengan tuduhan kononnya dia tidak pandai menjaga kebersihan sehingga menyebabkan kulit mukanya ditumbuhi jerawat yang teruk.
“Orang ingat kita tidak buat apa-apa untuk menjaga kulit. Orang ingat kita pengotor sebab biar kulit sebegitu (berjerawat).
“Hakikatnya sudah banyak duit dihabiskan. Banyak produk penjagaan kulit sudah masuk ke dalam tong sampah kerana tidak sesuai dengan kulit saya,” kongsinya menerusi hantaran di Instagramnya.
Kata pengacara program hiburan Muzik-Muzik itu lagi, solekan wajah juga tidak dapat membantu menyembunyikan masalah kulit yang dihadapinya, malah menyebabkan kulit mukanya berasa gatal dan pedih.
Sissy bagaimanapun bersyukur kerana keadaan kulit mukanya kini menjadi semakin pulih dan berharap masalah tersebut tidak muncul lagi.
Dalam pada itu, Sissy turut menitipkan pesanan buat pengikutnya yang mengalami masalah kulit berjerawat agar menyayangi diri sendiri tanpa mengharapkan kasih sayang orang lain yang tidak ikhlas.
“Macam mana pun keadaan kulit kamu, anda tetap ‘bintang’.
“Tidak perlu persoalkan cinta yang bergantung pada rupa. Tinggalkan (cinta) kalau terlalu menyeksakan,” katanya.