PETALING JAYA – Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bagi semua pihak dalam memastikan semua pengguna selamat ke destinasi.
Namun begitu, tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah individu yang mementingkan diri boleh mengundang kemalangan sehingga mengorbankan nyawa.
Menerusi satu hantaran oleh Hamzah di Facebook, dia berkongsi satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) memaparkan seorang pemandu sebuah kereta jenis Perodua Kelisa memandu secara melulu dan merbahaya.
Video berdurasi lapan saat itu jelas menunjukkan pemandu tersebut ‘menyelinap’ secara merbahaya seakaan sebuah motosikal di antara dua lorong di jalan raya yang sedang sesak penuh dengan kenderaan.
Keadaan itu boleh mengundang kecelakaan dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
Difahamkan kejadian tersebut berlaku pada 26 November lalu bagaimanapun lokasi kejadian tidak dapat dipastikan.
Rata-rata pengguna media sosial berang dengan tindakan tidak bertanggungjawab pemandu tersebut.
“Ini memang haramjadah punya pemandu, main menyelit sahaja,” kata Syukur Cmz
“Apa punya perangai lah, memalukan pengguna Kelisa betul,” jelas Hakim Ossan.
Sementara itu, Mieq Aryan berseloroh mungkin pemandu itu lupa dia bawa kereta bukannya motosikal – K! ONLINE