PETALING JAYA-Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan seketika usaha negara beralih ke fasa peralihan endemik berikutan penularan baharu varian baharu Omicron ketika ini.
Perkara itu diputuskan di dalam Mesyuarat Kuartet ke-9 Covid-19 hari ini selepas varian baharu itu dilihat berisiko merebak dengan lebih mudah dan pantas ke dalam tubuh manusia.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, susulan itu, kerajaan akan mengenakan kawalan sempadan antarabangsa lebih ketat ke atas negara-negara yang melaporkan penyebaran varian Omicron itu.
“Setakat ini, kerajaan ambil maklum bahawa varian itu bukan sahaja menular di Selatan benua Afrika, tetapi juga di beberapa buah negara antaranya Itali, Denmark, Australia, United Kingdom, Belgium dan Hong Kong.
“Susulan penularan varian Omicron, buat masa ini, prosedur operasi standard (SOP) semasa dalam negara untuk negeri-negeri dalam Fasa 3 dan 4 masih kekal,” katanya.
Menurutnya, penangguhan ke fasa endemik itu juga akan dibuat sehingga kerajaan mengetahui lebih lanjut tentang varian Omicron termasuk tempoh inkubasi, gejala dan kebolehjangkitan. -K! ONLINE