PETALING JAYA – Pengacara terkenal, Daphne Iking menerima kecaman hebat netizen apabila gara-gara memberi cadangan kepada orang ramai agar membuat roti sendiri menggunakan perkakas premium rentetan harga roti Gardenia naik bermula esok, 1 Disember.
Daphne atau nama lengkapnya, Daphne Eleanor M Ikin bagaimanapun, sedia maklum dengan segala cercaan dan kecaman yang diterima susulan cadangan menggunakan menggunakan Thermomix, seperti disuarakan dalam Instagram.
“Saya baca komen-komen dan sedang memahami apa yang diperkatakan. Terima kasih kerana ‘tag’ saya.
“Satu benda yang saya nak jelaskan adalah saya tidaklah kaya-raya tetapi bersyukur kerana punya karier yang mampu bayar bil dan sediakan makanan atas meja. Saya tidak berniat menyakiti perasaan orang lain,” ciapnya menerusi Twitter.
Daphne, 43, memuat naik ciapan berkenaan bagi menjawab tohmahan segelintir pihak yang mendakwa dirinya sebagai tidak menghormati dan kurang sensitif terhadap golongan kurang berkemampuan.
Umum tahu, kenaikan barang makanan yang menjadi kegemaran harian tersebut dikatakan sedikit memberi kesan kepada kebanyakan rakyat kurang berkemampuan.
“Ingat semua orang mampu beli Thermomix ke? Kau ingat kau pakai Thermomix, roti itu sedap ke?
“Sesetengah orang bergantung kepada roti sebagai makanan harian kot.”
Itu antara ciapan yang ditinggalkan pengguna Twitter yang tidak berpuas hati dengan tindakan Daphne mencadangkan menggunakan perkakas premium sedangkan ramai rakyat negara ini masih bergelut dengan masalah kewangan disebabkan status kewangan yang tidak menentu.
Terdahulu, Daphne berkongsi sekeping foto dalam Instagram yang memberi saranan kepada orang ramai mula belajar buat roti sendiri berikutan harga roti jenama Gardenia mula dinaikan bermula esok.
Hari ini, Kosmo! Online melaporkan, disebabkan mengalami kenaikan kos bahan dan penghasilan yang melangkaui kawalan, Syarikat Gardenia Bakeries KL Sdn. Bhd. (GBKL) tiada pilihan kecuali menaikkan harga beberapa produk terpilih bermula esok.
Dalam satu kenyataan, GBKL berkata, produk Gardenia Squiggles, Funky Strawberry, Choco Malto, Gardenia Delicia Soft Roll, Butter Toffee, Sambal Bilis dan Gardenia Fluffy Red Beans naik lima sen dari RM1.05 ke RM1.10.
Sementara itu, produk The Gardenia Toast’em, Delicia Butter Raisin, Butterscotch, Choco Raisin, and Raspberry Milk & Cranberries bread, naik 20 sen kepada RM4.70. – K! ONLINE