fbpx

Korea Selatan akan bina bandar terapung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambaran artis yang memaparkan pembangunan bandar terapung di pesisir pantai Busan. – Oceanix

SEOUL – Sebuah projek bandar terapung pertama di dunia akan dibina di kawasan pesisir pantai Korea Selatan yang dilaporkan bakal menjadi bandar bebas taufan, banjir serta mampu ‘berdiri dengan sendiri’, lapor akhbar New York Post kelmarin.

Projek yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu akan dibina di kawasan pesisir pantai Busan serta direka sebagai tindak balas terhadap peningkatan paras air laut yang didakwa berpunca daripada fenomena pemanasan global.

Bandar masa depan itu terdiri daripada beberapa platform berbentuk heksagon  gergasi yang terapung di atas permukaan air.

Rekaan tersebut menggunakan salutan batu kapur yang terapung, namun bahan tersebut adalah dua hingga tiga kali ganda lebih keras berbanding konkrit.

Menurut firma pereka projek tersebut, Oceanix, objektif utama pembangunan itu adalah untuk mewujudkan komuniti bebas banjir yang boleh bertahan daripada bencana  taufan kategori lima. Projek perintis itu boleh menempatkan seramai  10,000 penduduk.

Bandar itu juga mempunyai keupayaan untuk menghasilkan makanan,  tenaga dan air bersih sendiri. Projek itu juga merangkumi pertanian komuniti yang direka pada bahagian tengah setiap platform.

“Busan adalah lokasi terbaik untuk kami membangunkan prototaip bandar ini.

“Kami berharap agar projek ini berguna untuk semua bandar pesisir pantai di seluruh dunia serta mana-mana bandar yang berdepan dengan ancaman peningkatan paras air laut,” kata  pengasas bersama Oceanix, Itai Madamombe.

Dengan kos pembinaan mencecah AS$200 juta (RM845 juta), prototaip projek yang direka dengan kerjasama Program Penempatan PBB itu dijangka siap pada 2025. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI