KOTA BHARU – Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) menutup sebanyak 38 lokasi rekreasi melibatkan Taman Eko Rimba dan Hutan Simpan Kekal yang terkenal dengan aktiviti pendakian di negeri ini selama dua bulan bermula esok hingga 31 Januari depan.
Pengarahnya, Abdul Khalim Abu Samah berkata, penutupan kesemua lokasi itu dijalankan berikutan musim tengkujuh yang baru bermula di negeri-negeri Pantai Timur.
Menurutnya, lokasi yang ditutup itu merupakan tumpuan pengunjung untuk mendaki bukit, menjelajah gua, mandi di kawasan jeram, air terjun dan perkhemahan.
“Aktiviti terbabit boleh mengundang pelbagai risiko sekiranya dilakukan semasa cuaca hujan yang berlaku secara berterusan dalam tempoh masa beberapa jam.
“Kawasan tersebut akan ditutup buat sementara waktu semasa musim tengkujuh setiap tahun atas faktor keselamatan pengunjung. Dalam tempoh penutupan itu juga, JPNK boleh menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Tambah Abdul Khalim, notis penutupan kesemua pusat rekreasi di Kelantan juga sudah dimaklumkan lebih awal kepada orang ramai menerusi media sosial sebagai langkah keselamatan. -K! ONLINE