GEORGE TOWN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan unit baharu iaitu Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) bagi menyiasat dan menumpaskan sindiket penyeludupan hidupan liar di negara ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, unit berkenaan akan ditubuhkan dalam tempoh terdekat di mana pada masa ini kertas kerja mengenainya telah pun disiapkan dan unit berkenaan akan dianggotai oleh 50 anggota polis termasuk pegawai.
“Unit WCB akan menggunakan kepakaran yang ada dalam pasukan polis untuk membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menumpaskan sindiket yang mempunyai rangkaian penyeludupan hidupan liar.
“Unit ini akan berpusat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan kita bercadang untuk memohon sebanyak 50 perjawatan untuk anggota serta pegawai polis di dalam unit ini,” katanya pada sidang akhbar Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.
Menurut Mazlan, pihak polis juga akan menggunakan undang-undang sedia ada seperti Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA) untuk menyita aset-aset yang dimiliki sindiket rangkaian penyeludupan hidupan liar ini.
Dalam pada itu, katanya, seramai 127 orang dan pemburu haram ditahan dan sebanyak RM31.86 juta nilai sitaan termasuk hidupan liar dirampas menerusi 11 siri OBK pada tahun ini di seluruh negara.
“Sebanyak 69 kertas siasatan telah dibuka dan 293 jerat hidupan telah dimusnahkan di lapangan sepanjang tempoh tersebut,” ujarnya. – K! ONLINE